06/05/2026
Lawatan Pendedahan ke Kitchen Garden dan MyaFarish Farm
Pada 29 April 2026, satu lawatan telah diadakan ke Kitchen Garden iaitu sebuah kawasan penternakan ayam penelur dan projek pertanian bandar yang diusahakan oleh seorang veteran TLDM, En Hamdan Ahmad Sapli bersama anaknya. Lawatan ini memberi pendedahan tentang bagaimana pengalaman, disiplin dan semangat juang bekas anggota tentera dapat diterjemahkan ke dalam bidang agromakanan dan keusahawanan moden. Projek ini bukan sahaja menumpukan kepada pengeluaran telur dan hasil pertanian segar, malah turut membuktikan bahawa konsep pertanian dalam bandar mampu menjana pendapatan serta menyumbang kepada keselamatan makanan komuniti setempat. Pelatih juga didedahkan dengan kaedah pengurusan ternakan, penjagaan kebersihan, penggunaan ruang secara optimum serta cabaran yang dihadapi dalam mengusahakan pertanian bandar secara mampan.
Seterusnya, pada 6 Mei 2026, lawatan diteruskan ke MyaFarish Farm yang merupakan sebuah pusat penternakan lembu tempatan yang diusahakan oleh En Mohd Farish Ahmad, seorang anak muda Melayu yang berwawasan. Lawatan ini memberi inspirasi kepada pelatih tentang potensi besar sektor penternakan sebagai bidang ekonomi yang mampu berkembang sekiranya diurus secara sistematik dan berdaya maju. Pelatih berpeluang melihat sendiri proses penjagaan lembu, pengurusan makanan ternakan, penyelenggaraan kandang serta aspek kesihatan haiwan yang menjadi faktor penting dalam memastikan kualiti penternakan. Selain itu, lawatan ini turut membuka minda pelatih mengenai peranan generasi muda dalam memodenkan sektor agroternakan serta membuktikan bahawa bidang pertanian dan penternakan mampu menjadi kerjaya profesional yang berpotensi tinggi pada masa hadapan.
Semoga lawatan ke Kitchen Garden dan Myafarish Farm sedikit sebanyak dapat membuka minda Pelatih PLBV Lumut Siri 2/2026 tentang peluang dan potensi yang boleh diterokai dalam bidang pertanian, penternakan, agromakanan dan keusahawanan.