69 Komando Pasukan Gerakan Khas

69 Komando Pasukan Gerakan Khas VAT 69 SPECIAL FORCES
WARISAN DARAH PERWIRA
(1)

PROGRAM DERMA DARAH SEMPENA HARI POLIS KE-219 TAHUN 2026ULU KINTA, 13 Mei – Bahagian Kepolisan Am / Perubatan Taktikal 6...
14/05/2026

PROGRAM DERMA DARAH SEMPENA HARI POLIS KE-219 TAHUN 2026

ULU KINTA, 13 Mei – Bahagian Kepolisan Am / Perubatan Taktikal 69 Komando telah menganjurkan Program Derma Darah sempena sambutan Hari Polis Ke-219 bertempat di Dewan CLPK, Kem Sultan Nazrin Shah, hari ini.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang itu dilaksanakan dengan kerjasama erat petugas Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Inisiatif murni ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan melalui kehadiran pegawai serta anggota daripada pelbagai cawangan, antaranya: 69 Komando, Briged Utara, Batalion 1 PGA dan Sekolah Latihan Pasukan Gerakan Am (SLPGA). Turut hadir memberikan sokongan padu menjayakan program ini ialah YDH Mohd Yusof bin Ariffin dan YDH Azhar bin Johar, bersama pasukan perubatan yang terdiri daripada dua orang doktor serta 14 petugas dari HRPB.

Penganjuran program ini bermatlamat untuk memupuk kesedaran serta tanggungjawab sosial warga PDRM dalam membantu menampung bekalan darah negara. Selain itu, ia berfungsi sebagai platform pendidikan bagi warga pasukan mengenai kepentingan menjaga kesihatan tubuh badan dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Melalui semangat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh para penderma, sebanyak 64 pek darah berjaya dikumpulkan sepanjang program berlangsung.
Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan warga 69 Komando terhadap keperluan masyarakat, malah memperkukuh hubungan kolaborasi antara PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaras dengan konsep "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada".

Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan menjadi manifestasi sokongan padu pasukan keselamatan terhadap usaha kebajikan nasional.





ULU KINTA, 12 Mei 2026 – 69 Komando PGK telah mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi bulan Mei 2026 di Dataran 69 Komando, ...
12/05/2026

ULU KINTA, 12 Mei 2026 – 69 Komando PGK telah mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi bulan Mei 2026 di Dataran 69 Komando, Kem Sultan Nazrin Shah dalam suasana penuh semangat, disiplin dan kebanggaan sebagai pasukan khusus negara.

Perbarisan diketuai oleh DSP Wan Nurisham bin Wan Isa, manakala bacaan ikrar disempurnakan oleh DSP Muhammad Ridhuan bin Basri. Majlis dikendalikan oleh Sarjan Mohd Fadli bin Harun selaku pengacara majlis, sementara bacaan doa dipimpin oleh Konstabel Muhammad Nasaruddin bin Sharom.

Majlis yang dihadiri oleh kepimpinan tertinggi 69 Komando PGK, YDH SAC Hamzah bin Hashim, Komander 69 Komando; YDH ACP Hamzah bin Abdul Rani, Timbalan Komander 69 Komando; Pegawai-pegawai Turus, Skuadron-skuadron Komander, Pegawai Kanan, Pegawai Rendah Polis serta Pegawai Awam warga pasukan.

Dalam amanatnya, YDH Komander 69 Komando menegaskan bahawa konflik geopolitik dunia dan peningkatan harga minyak global memberi kesan kepada ekonomi negara. Beliau menekankan agar seluruh warga pasukan terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi dalam menyokong pelaksanaan Op Tiris bagi mengekang aktiviti penyeludupan minyak serta ketirisan subsidi negara.

Beliau turut mengingatkan warga pasukan supaya mengurus latihan, operasi dan sumber secara lebih berhemah tanpa menjejaskan profesionalisme serta keupayaan operasi pasukan.

Dalam majlis sama, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada warga 69 Komando atas kejayaan cemerlang dalam Temasya Sukan Piala Ketua Polis Negara 2026, termasuk muncul juara acara Ronda Pandu Arah JKDNKA, Juara Pertandingan Bola Sepak dan Juara Tarik Tali Piala Ketua Polis Negara. Turut membanggakan apabila atlet pasukan, L/Kpl Muhamad Asyhraf bin Mohamad Zaidin, berjaya memecahkan rekod kejohanan serta dinobatkan sebagai Olahragawan.

Selain itu, seramai 30 peserta Kursus Selam Taktikal dan Teknikal (OCBA) 69 Komando Siri 1/2026 turut diraikan selepas berjaya menamatkan kursus, termasuk seorang peserta daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pesara dan bakal pesara atas jasa serta pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat dalam pasukan.

Perhimpunan diakhiri dengan nyanyian lagu Sedia Berkhidmat sebelum diteruskan dengan penyerahan piala kejohanan serta gimik dan sorakan semangat yang melambangkan perjuangan serta kecemerlangan berterusan warga 69 Komando.




SENYAP, PANTAS, BERBISA: KURSUS CCBA 69 KOMANDO LABUH TIRAI DENGAN KEJAYAAN LUAR BIASAULU KINTA – Kecekapan tempur marit...
12/05/2026

SENYAP, PANTAS, BERBISA: KURSUS CCBA 69 KOMANDO LABUH TIRAI DENGAN KEJAYAAN LUAR BIASA

ULU KINTA – Kecekapan tempur maritim Pasukan Gerakan Khas (PGK) terus diperkasakan apabila Kursus Close Circuit Breathing Apparatus (CCBA) 69 Komando melabuhkan tirainya secara rasmi hari ini. Latihan elit ini menjadi bukti komitmen jitu barisan jurulatih yang terus memacu kecemerlangan tanpa henti, sejurus tamatnya Kursus Open Circuit Breathing Apparatus (OCBA) sebelum ini.

Kursus yang menuntut ketahanan mental dan fizikal di tahap ekstrem ini dirangka khusus bagi menguji keupayaan teknikal Pegawai Kanan serta Pegawai Rendah Polis (PRP) 69 Komando dalam melaksanakan misi bawah air tanpa dikesan.

Evolusi latihan ini dipecahkan kepada dua fasa krusial bagi memastikan setiap operator mencapai standard emas komando:

Fasa Pertama (Asas & Teknikal): Berlangsung selama dua minggu di Kompleks Selam Taktikal, Kem Sultan Nazrin Shah (SNS). Fokus diberikan kepada penguasaan teknikal dan prosedur keselamatan di bawah seliaan ketat.

Fasa Kedua (Latihan Medan): Bermula dari 27 April hingga 12 Mei, peserta diuji di perairan terbuka Pulau Perhentian. Di sini, kemahiran tempur sebenar diterjemahkan dalam simulasi persekitaran laut yang mencabar.

Sepanjang tempoh latihan, peserta didedahkan dengan kepakaran mengendalikan sistem F.R.O.G.S—teknologi yang membolehkan penyusupan senyap tanpa jejak gelembung udara di permukaan.

Modul latihan merangkumi:
* Tugasan peninjauan dan risikan maritim.
* Taktik tempur bawah air.
* Prosedur Penyusupan & Pengunduran (Exfiltration) Operasi Khas Maritim.
•Operasi V.B.S.S (Visit, Board, Search, and Seizure) yang berisiko tinggi.

Kejayaan 29 peserta (1 Pegawai Kanan dan 28 Pegawai Rendah Polis) membuktikan "semangat waja" mereka apabila berjaya menamatkan kursus dengan cemerlang.

Syabas diucapkan kepada semua pelatih atas keberhasilan melepasi piawaian kursus berprestij ini.

Penghargaan tertinggi juga buat barisan jurulatih 69 Komando yang terus kental menabur bakti demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

WARISAN DARAH PERWIRA




11/05/2026
11/05/2026
11/05/2026
MAJLIS PENYERAHAN BENDERA 69 KOMANDO (FLAG OFF) KE TEMASYA SUKAN PIALA KETUA POLIS NEGARA 2026Pada 6 Mei 2026 jam 3.00 p...
07/05/2026

MAJLIS PENYERAHAN BENDERA 69 KOMANDO (FLAG OFF) KE TEMASYA SUKAN PIALA KETUA POLIS NEGARA 2026

Pada 6 Mei 2026 jam 3.00 petang, telah berlangsung Majlis Penyerahan Bendera 69 Komando (Flag Off) kepada Pasukan Tarik Tali dan Pasukan Olahraga 69 Komando sebagai simbolik pelepasan rasmi bagi menyertai Temasya Sukan Piala Ketua Polis Negara 2026 yang berlangsung mulai 6 Mei 2026 hingga 10 Mei 2026 di Pulau Pinang.

Majlis yang berlangsung di Padang Bola Kem Sultan Nazrin Shah tersebut telah disempurnakan oleh SAC Hamzah bin Hashim selaku Komander 69 Komando.

Pasukan Tarik Tali diketuai oleh DSP Shahar bin Omar, manakala Pasukan Olahraga diketuai oleh Insp Helmy Fauzan bin Mohd Basar.

Penyertaan kedua-dua pasukan ini bukan sahaja membawa cabaran dalam arena sukan, malah turut membawa nama dan imej 69 Komando dalam mempamerkan semangat kesukanan, disiplin, ketahanan fizikal serta semangat berpasukan yang tinggi.

Semoga seluruh atlet dan pegawai yang terlibat diberikan kekuatan, keselamatan serta kejayaan sepanjang temasya berlangsung.
Selamat berjuang dan semoga kejayaan mengiringi 69 Komando.

“Majulah Sukan Untuk Negara"




Address

Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Khas 69 Komando
Ipoh
31150

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when 69 Komando Pasukan Gerakan Khas posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share