03/02/2025
𝐋𝐚𝐩𝐨𝐫 𝐃𝐢𝐫𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐬𝐨𝐧𝐞𝐥 𝐌𝐲𝐬𝐭𝐞𝐩 (𝐏𝐞𝐦𝐚𝐣𝐮 𝐌𝐚𝐬𝐲𝐚𝐫𝐚𝐤𝐚𝐭 𝐏𝐞𝐥𝐛𝐚𝐠𝐚𝐢 𝐉𝐮𝐫𝐮𝐬𝐚𝐧) 𝐃𝐢 𝐊𝐄𝐌𝐀𝐒 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤 𝐓𝐚𝐡𝐮𝐧 𝟐𝟎𝟐𝟓
Pada pagi ini, KEMAS Negeri Perak dengan s**acitanya telah menerima kehadiran 30 Pemaju Masyarakat Pelbagai Jurusan yang melapor diri di Bilik Mesyuarat Tingkat 2, Blok C Bangunan Persekutuan Ipoh.
Pengarah KEMAS Perak, Tuan Taufik Bin Mohd Yusop telah hadir dengan diiringi oleh Timbalan Pengarah KEMAS Perak, Encik Encik Muhammad Azrul Aidi Phillip Bin Abdullah dan Penolong Pengarah Unit Pembangunan Komuniti & Kemahiran, Encik Al-Firdaus Bin Muhamad. Turut hadir adalah Penolong Pengarah Kanan KEMAS Perak, Cik Khairun Nisa' Binti Roshdi serta Penolong Pengarah Unit Sumber Manusia dan Pentadbiran, Puan Nur Aisyah Binti Abdul Halim.
Sesi lapor diri telah dimulakan dengan satu taklimat pengenalan yang disampaikan oleh Tuan Pengarah sebagai mukadimah kepada para pemaju masyarakat lantikan baru. Dalam taklimat tersebut, beliau menekankan beberapa intipati penting yang perlu dijadikan panduan oleh pemaju masyarakat setibanya mereka di kawasan penempatan masing-masing.
Antaranya adalah, pemaju masyarakat diingatkan untuk sentiasa patuh pada peraturan yang telah ditetapkan ketika bekerja bagi memelihara nilai integriti dan etika profesionalisme sekaligus dapat mengelakkan berlakunya sebarang salah laku akibat daripada sikap yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, Tuan pengarah turut mengingatkan para pemaju masyarakat agar dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas yang diamanahkan di samping sentiasa menonjolkan sikap mesra dan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
Hal ini kerana, KEMAS berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan antara masyarakat dan pemimpin. Oleh itu, sewajarnya jika pemaju masyarakat cakna akan permasalahan yang dihadapi mereka dan cuba sedaya upaya untuk membantu melalui saluran yang betul dan berkesan.
Tuan pengarah turut menegaskan agar pemaju masyarakat seharusnya sentiasa menghormati akan ketua di kawasan serta boleh laksanakan tugas semasa yang diberikan dengan sepenuh hati. Sikap hormat dan keikhlasan dalam menjalankan tugas merupakan elemen utama dalam mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan produktif. Apabila pemaju masyarakat dapat menyesuaikan diri di tempat baru, segala urusan pekerjaan pasti dapat berjalan dengan lancar.
Tuntasnya, sesi lapor diri ini bukan hanya membawa simbolik formaliti, malah membawa maksud komitmen serta semangat baru para pemaju masyarakat dalam memartabatkan perkhidmatan kepada masyarakat setempat. Diharapkan agar kesemua pemaju masyarakat yang telah melapor diri pada hari ini akan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, integriti, dan profesionalisme.
Selamat bertugas dan semoga segala usaha ini bakal membawa kemaslahatan yang lebih besar kepada komuniti Negeri Perak pada tahun ini.