10/06/2026
*MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN WANITA CAWANGAN KECIL ICU JPM PERAK BILANGAN 8 TAHUN 2026 & MAJLIS _GOODBYE BUT NOT FORGOTTEN_*
Ipoh, 5 Jun 2026 -Telah berlangsung dengan jayanya Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Wanita Cawangan Kecil ICU JPM Perak Bilangan 8 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Datin Hjh Saimah binti Hj Saleh.Mesyuarat ini telah menghimpunkan ahli-ahli persatuan bagi membincangkan pencapaian, perkembangan serta perancangan aktiviti persatuan.
Antara agenda utama mesyuarat adalah pembentangan Laporan Aktiviti Persatuan oleh Setiausaha yang merangkumi pelbagai program dan aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang sesi terdahulu. Selain itu, Bendahari turut membentangkan Laporan Kewangan Persatuan bagi memaklumkan kedudukan kewangan terkini dan pengurusan perbelanjaan persatuan kepada semua ahli.
Mesyuarat turut menyaksikan sesi pembubaran Ahli Jawatankuasa bagi Sesi 2023-2025 dan pelantikan Ahli Jawatankuasa baharu bagi Sesi 2026-2028. Dalam ucapan Pengerusi, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa sesi terdahulu atas segala komitmen, dedikasi dan tanggungjawab yang telah dicurahkan dalam memastikan perjalanan persatuan berjalan lancar dan aktif.
Pengerusi turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa yang baharu dilantik serta menzahirkan harapan agar barisan kepimpinan baharu dapat meneruskan kecemerlangan dan membawa Persatuan Wanita Cawangan Kecil ICU Perak ke tahap yang lebih tinggi melalui pelaksanaan program dan aktiviti yang bermanfaat, inklusif serta memberi impak positif kepada seluruh ahli.
Pada majlis yang sama, turut diadakan majlis penghargaan bagi meraikan ahli-ahli persatuan yang telah bertukar tempat bertugas dengan tema “Goodbye But Not Forgotten”. Seramai 14 orang ahli yang bertukar diraikan sebagai tanda penghargaan atas jasa, sumbangan dan kebersamaan mereka sepanjang menjadi sebahagian daripada keluarga Persatuan Wanita Cawangan Kecil ICU Perak. Semoga ikatan persahabatan, kenangan indah dan ukhwah yang terjalin akan terus kekal walau di mana jua mereka berada.
Mengakhiri majlis, Pengerusi menyeru agar semua ahli terus memberikan komitmen dan sokongan padu terhadap setiap program yang dirancang demi memastikan persatuan kekal aktif, relevan dan menjadi platform yang menyatukan ahli. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ahli atas kerjasama, sokongan dan penglibatan yang diberikan dalam menjayakan setiap aktiviti persatuan.