23/05/2026
Pada 23hb Mei 2026, Ganeson Awarajoo (Pen. Setiausaha Bersekutu Bersatu Perak & Ketua Bersekutu Bersatu Bahagian Bagan Datuk) telah menerima satu aduan daripada penduduk Lorong Iswara 3, Hutan Melintang berkaitan kerja penurapan jalan yang didakwa tidak disiapkan sepenuhnya.
Susulan aduan tersebut, beliau telah bergegas turun padang bagi meninjau sendiri keadaan di lokasi berkenaan. Hasil tinjauan mendapati bahawa kerja penurapan tar yang dijalankan kira-kira dua minggu lalu hanya dilakukan sehingga separuh jalan sahaja dan tidak disiapkan sepenuhnya. Bahagian jalan yang selebihnya masih merupakan jalan batu dan bukannya jalan tar lama.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana kerja penurapan boleh dilakukan secara separuh jalan sedangkan pihak kontraktor sepatutnya telah membuat ukuran penuh serta anggaran kerja sebelum projek dijalankan. Menurut beliau, keadaan seperti ini amat mengecewakan penduduk kerana jalan tersebut masih tidak lengkap dan menyukarkan pengguna jalan raya.
Tambah beliau lagi, sekiranya kerja penurapan dilakukan secara berperingkat selepas beberapa buah rumah sekali pun, ia masih boleh difahami. Namun, dalam situasi ini, projek berkenaan dilihat tidak disiapkan dengan sempurna.
En. Ganeson Awarajoo memaklumkan bahawa beliau akan membawa dan menyuarakan isu ini kepada pihak berkenaan agar tindakan segera dapat diambil demi keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.