13/01/2026
PEMBATALAN PROGRAM “GLAMPING WITH PRIDE”
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, usaha dan kesepaduan semua pihak, program “Glamping with Pride” telah pun dibatalkan.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kami ucapkan kepada seluruh penduduk Hulu Langat, badan-badan NGO, serta parti-parti politik yang telah bangkit bersuara, menyatakan bantahan secara berhemah dan berprinsip demi mempertahankan nilai agama, budaya serta norma masyarakat setempat.
Penghargaan khas dirakamkan kepada:
1) YB ADUN Dusun Tua, Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz , atas peranan penting, ketegasan
dan tindakan segera dalam menangani isu ini;
2) Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Sany Hamzan, atas sokongan dan keprihatinan terhadap suara rakyat;
3) Penghulu Mukim, serta Ketua-ketua Kampung yang telah memainkan peranan besar sebagai penghubung masyarakat dan pihak berkuasa, memastikan suara akar umbi didengari dan dihormati.
Kami turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang telah bertindak secara profesional, berlandaskan undang-undang dan kepentingan awam dalam memastikan keharmonian masyarakat Hulu Langat terus terpelihara.
Sebagai langkah pencegahan agar perkara seumpama ini tidak berulang, kami mencadangkan agar:
1) Papan tanda larangan aktiviti yang bercanggah dengan nilai agama dan norma masyarakat diwajibkan di setiap premis chalet, resort dan rumah penginapan persendirian (private bungalow) di Hulu Langat, khususnya di kawasan DUN Dusun Tua;
2) Pemantauan dan garis panduan yang lebih jelas dilaksanakan demi menjaga sensitiviti masyarakat setempat.
Akhir kata, patik sekalian merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Selangor Royal Office , atas titah baginda yang amat prihatin dan berwibawa agar program ini dibatalkan serta-merta. Sesungguhnya titah baginda mencerminkan kebijaksanaan dan kasih sayang seorang Raja yang sentiasa memelihara keharmonian agama, negeri dan rakyat jelata.
Daulat Tuanku.
Semoga usaha bersama ini menjadi contoh bahawa perpaduan masyarakat, kepimpinan berintegriti dan kedaulatan undang-undang mampu memastikan Hulu Langat kekal aman, harmoni dan berpegang teguh kepada nilai murni.
Sekian, terima kasih.
- HULU LANGAT IS OUR PRIDE -