02/05/2026
FESTIVAL MUZIK AIR : ANTARA KEUNTUNGAN EKONOMI DAN KERUNTUHAN SOSIAL
1. Ameerah Kelantan mengambil maklum akan penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Bukit Bintang. Ameerah Kelantan ingin menegaskan bahawa penganjuran festival begini akan memberi dampak negatif yang banyak terutamanya kepada struktur sosial dan norma bangsa Malaysia.
2. Walaupun begitu, MOTAC dalam kenyataan mereka mengatakan bahawa festival ini diadakan untuk menarik pelancong sejajar dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Hari Pekerja Pelancongan pada 1 Mei.
3. Namun begitu, pelaksanaan festival ini turut mendatangkan keresahan kepada warga ibu kota apabila turut menyebabkan jalan-jalan utama khususnya di sekitar Bukit Bintang ditutup bermula 22 April sehingga 2 Mei.
Selain itu, festival ini juga dibimbangi akan dicemari dengan aktiviti maksiat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, minuman arak sehingga memabukkan, penggunaan dadah, seks bebas dan pencemaran alam sekitar dan bunyi daripada muzik yang kuat.
Contohnya, pihak polis mendedahkan terdapat 4 pengunjung konsert Pinkfish yang dianjurkan di Bandar Sunway terlibat dengan dadah ecstacy hingga meragut nyawa mereka pada awal tahun ini.
Ini adalah salah satu contoh bahawa penganjuran konsert membawa kesan buruk kepada masyarakat dan kesihatan.
4. Lebih membimbangkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Hannah Yeoh turut mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kadar deposit cagaran bagi pelbagai aktiviti seni tempatan dan antarabangsa sebagai tanda sokongan kepada kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 bermula 1 Mei ini. Alasan "untuk menggalakkan penganjuran" oleh YB Menteri dan pengumuman dalam sesi parlimen tentang penghasilan ekonomi yang mencapai ratusan juta ringgit hasil daripada konsert Coldplay terdahulu seolah-olah mahu menunjukkan bahawa konsert merupakan salah satu faktor ekonomi berimpak tinggi kepada negara.
Namun hakikatnya, pulangan tinggi ini mempunyai kesan jangka masa panjang dan dibayar dengan keruntuhan sosial berterusan kepada rakyat Malaysia khususnya warga ibu kota yang turut menerima tempiasnya.
5. Lebih menyedihkan, tahukah anda bahawa tahun ini sahaja, terdapat banyak lagi konsert yang melibatkan penyanyi antarabangsa seperti Post Malone, 5 Seconds of Summer, Jason Mraz, My Chemical Romance yang akan membuat persembahan di Malaysia? Kemasukan ahli muzik asing ini bukan sahaja akan membawa budaya asing, bahkan merugikan pemuzik tempatan dan lebih meminggirkan mereka daripada berkarya dan membawa nilai norma bangsa Malaysia.
6. Justeru itu, Ameerah Kelantan dengan tegas membantah penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave ini dan sebarang bentuk konsert seumpamanya yang jelas membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat kepada masyarakat.
Bantahan ini bukan bersifat retorik semata-mata, tetapi berasaskan realiti kes-kes terdahulu yang membuktikan wujudnya penyalahgunaan dadah, keruntuhan akhlak serta gangguan kesejahteraan awam setiap kali acara hiburan berskala besar dianjurkan tanpa kawalan yang ketat.
7. Sejarah telah membuktikan bahawa penganjuran festival hiburan berskala besar bukan sahaja berisiko, bahkan pernah dibatalkan oleh pihak berkuasa sendiri akibat tekanan awam dan isu keselamatan, seperti yang berlaku dalam Good Vibes Festival 2023 dan Future Music Festival Asia 2014.
Ini menunjukkan bahawa tindakan tegas termasuk pembatalan lesen bukanlah sesuatu yang mustahil, sebaliknya satu langkah wajar demi menjaga kepentingan masyarakat.
Sehubungan itu, Ameerah Kelantan menggesa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak berkuasa berkaitan, untuk menilai semula kelulusan yang telah diberikan, termasuk mempertimbangkan pembatalan lesen penganjuran sekiranya didapati berisiko tinggi terhadap keselamatan dan kesejahteraan sosial.
Selain itu, satu garis panduan yang lebih tegas dan berteraskan nilai budaya serta norma tempatan perlu diwujudkan bagi memastikan sebarang aktiviti pelancongan yang dibuat tidak akan mengorbankan jati diri dan keseimbangan sosial masyarakat Malaysia.
Akhirnya, ingatlah kita akan firman Allah SWT yang menegur manusia yang sering melakukan kerosakan di dunia :
{ ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِی ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَیۡدِی ٱلنَّاسِ لِیُذِیقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِی عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمۡ یَرۡجِعُونَ }
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[Surah Ar-Rūm: 41]