06/06/2025
Jangan Abaikan Keselamatan Makanan Semasa Ibadah Korban
Oleh: Sazly Tulih
1. Setiap kali tibanya Aidiladha, umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadah korban sebagai tanda ketaatan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Di Malaysia, ibadah korban bukan sekadar ibadah. Ia juga simbol kebersamaan, gotong-royong dan semangat membantu sesama.Namun dalam keghairahan menyempurnakan ibadah ini, ada satu aspek penting yang sering terlepas pandang: keselamatan makanan, khususnya cara pengendalian daging korban.
2. Bahaya Guna Plastik Sampah untuk Daging Korban
Antara kesalahan paling biasa tetapi berbahaya ialah menggunakan plastik sampah (plastik hitam) untuk membungkus daging korban. Ramai beranggapan ia murah, mudah didapati, dan praktikal. Namun, ramai tidak tahu bahawa plastik ini tidak selamat untuk makanan.
Plastik sampah diperbuat daripada bahan kitar semula, dan mungkin mengandungi bahan kimia berbahaya seperti pewarna, logam berat, dan bahan kimia industri. Apabila daging mentah bersentuhan dengan plastik ini, terutamanya dalam keadaan panas atau lembap. Bahan toksik boleh meresap ke dalam daging. Ini meningkatkan risiko gangguan hormon, keracunan makanan, dan kesan jangka panjang lain terhadap kesihatan.
Ingat: Plastik sampah.. bukan gred makanan.. tidak selamat.
3.. Langkah Pengendalian Daging Korban yang Selamat dan Bersih
Untuk memastikan ibadah korban kita bukan sahaja sah, tetapi juga selamat untuk dimakan, berikut ialah panduan lengkap pengendalian daging korban:
✅ Selepas Sembelihan: Elak Pencemaran Awal
Gunakan permukaan yang bersih semasa melapah... bukan terus atas tanah.
Guna sarung tangan (jika ada) atau basuh tangan dengan sabun sebelum sentuh daging.
Pisahkan organ dalaman (hati, limpa) daripada daging biasa.
Elakkan cucian air paip secara berlebihan pada daging segar yang bukan untuk dimasak terus kerana ini boleh merosakkan struktur dan mempercepatkan pembiakan bakteria jika tidak terus disejukkan.
✅ Pembungkusan: Gunakan Plastik Gred Makanan
Gunakan plastik lutsinar gred makanan (biasanya warna putih jernih atau lutsinar).
Elakkan plastik hitam, plastik sampah atau plastik terpakai.
Bungkus dalam kuantiti kecil (500g – 1kg) untuk memudahkan simpanan dan pencairan.
✅ Penyejukan dan Pembekuan
Jangan terus simpan daging dalam peti sejuk tanpa biarkan suhu badan turun dahulu (elakkan “heat trap” dalam peti sejuk).
Biarkan daging pada suhu bilik sekitar 4–6 jam selepas korban, kemudian baru dibungkus dan disimpan.
Simpan:
Peti Sejuk Biasa (0 – 4°C): maksimum 1-2 hari sahaja.
Peti Sejuk Beku (-18°C): boleh tahan 3–6 bulan.
Labelkan tarikh korban pada plastik simpanan untuk rujukan.
✅ Proses Pencucian Sebelum Masak
Basuh dengan air bersih, jangan rendam lama-lama.
Jika daging beku, cairkan dalam peti sejuk (bukan atas meja) untuk elak pertumbuhan bakteria.
✅ Cara Masakan
Pastikan daging dimasak sehingga betul-betul masak (minimum 75°C) untuk membunuh bakteria seperti E. coli dan Salmonella.
Elakkan masak separuh masak, terutamanya untuk golongan berisiko tinggi (kanak-kanak, ibu mengandung, warga emas).
4. Ibadah korban bukan sekadar soal sembelihan, tetapi juga amanah dalam menjaga rezeki yang dikurniakan. Kita perlu bertanggungjawab dalam memastikan daging yang diagihkan dan dimakan adalah bersih, selamat, dan tidak memudaratkan.
Sebarkan kesedaran ini. Tukar plastik hitam kepada plastik gred makanan. Jaga daging, jaga kesihatan, jaga amanah.