31/08/2026
TUISYEN BELIA MADANI PERKUKUH AKADEMIK 400 MURID, TEMU ANWAR HIMPUN 800 GENERASI MUDA
PERMATANG PAUH, PULAU PINANG, 28 Ogos 2026 – Pendidikan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dalam membina generasi berilmu, berdaya saing dan berkeupayaan mencorakkan masa depan. Berpaksikan nilai Kesejahteraan, komitmen ini diterjemahkan menerusi Program Tuisyen Belia MADANI pada sebelah pagi dan Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat MADANI pada sebelah petang di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. YAB Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim, Perdana Menteri telah hadir dalam sesi petang tersebut.
Program anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini telah memulakan pengisian pada sesi sebelah pagi menerusi taklimat Program Tuisyen Belia MADANI, diikuti bimbingan akademik bagi mata pelajaran Sejarah dan Matematik kepada 400 murid Tingkatan 5 daripada 10 buah sekolah sekitar Permatang Pauh sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain slot tuisyen, 400 murid berkenaan turut mengikuti sesi motivasi bersama 277 pelajar Tingkatan 6 dari sekitar Permatang Pauh bagi meningkatkan keyakinan dan kesiapsiagaan menghadapi peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Intervensi bersepadu ini menegaskan tekad Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kesiapsiagaan akademik serta memperluas peluang pendidikan sebagai asas meningkatkan keupayaan dan mobiliti sosial generasi muda.
Pada sebelah petang, Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat MADANI menghimpunkan keseluruhan 800 generasi muda, terdiri daripada 400 murid Tingkatan 5, 277 pelajar Tingkatan 6 dan 123 pelajar IPG Kampus Tuanku Bainun.
Sesi interaktif bersama YAB Perdana Menteri itu memberi ruang kepada generasi muda untuk berdialog secara langsung, menyuarakan pandangan, bertukar idea serta menerima amanat khas mengenai peranan mereka dalam pembangunan negara.
Sesi tersebut turut diserikan dengan penyampaian Sumbangan Sejahtera MADANI – Pendidikan kepada 10 murid sebagai manifestasi keprihatinan dan komitmen Kerajaan dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan komuniti pendidikan setempat terus diperkukuh. Turut hadir YB Datuk Seri Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan.
Keseluruhan pengisian ini memperteguh komitmen Kerajaan MADANI untuk memperluas akses pendidikan, memperkasa potensi generasi muda serta menyediakan ruang kepada mereka untuk bersama-sama mencorakkan masa depan negara.