30/07/2025
Minda Presiden PAS
ISLAM WAJIB BERDAULAT
Mereka yang jahil akan agama Islam, berilmu tanpa tafaqquh, mengejar kesenangan dunia sahaja tanpa akhirat, atau bersendirian tidak bersama jemaah Islam akan dapat diheret oleh bala tentera Iblis melalui cabang-cabang yang banyak.
Kita dapat menyaksikan pada zaman kelemahan umat Islam yang jahil akan agama atau mengejar dunia tanpa akhirat, ramai kalangan yang mengaku Islam pada namanya sahaja menjadi alat musuh bagi menjatuhkan kerajaan Islam yang berakhir dengan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada awal abad yang lalu. Termasuk menjatuhkan kesultanan Islam di Tanah Melayu ialah orang Melayu sendiri kerana kejahilan agama atau tidak bertafaqquh dalam urusan agama Islam.
Ketika kejatuhan Kerajaan ‘Uthmaniyyah pada tahun 1924, muncul seorang ulama’ al-Azhar Mesir bernama Syeikh ‘Ali ‘Abd al-Raziq yang mengarang kitab ‘الإسلام وأصول الحكم’ (Islam dan Asas-asas Hukum). Beliau menyatakan, “Bahawa urusan negara Islam yang dilakukan oleh Rasulullah SAW hanya perkara dunia yang tidak ada dalam perkara agama.”
Majlis Ulama’ al-Azhar kemudian memanggilnya untuk dibicarakan, bilamana mereka akhirnya memutuskan untuk membatalkan ijazahnya dan melucutkan jawatannya. Hal ini demikian kerana, kenyataannya bercanggah dengan hakikat ajaran Islam; menjadikan hukum syariat untuk dibaca sahaja, bukan diamalkan, di samping bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW serta ijmak para ulama’ sahabat dan tabiin.
Kitab yang menyesatkan itu digunakan oleh penjajah dan bala tentera syaitan bagi membatalkan kewajipan mendaulatkan Islam. Selain itu, ia turut digunakan oleh para ulama’ upahan dan mereka yang dianggap ilmuwan bagi membela penjajah yang menjauhkan Islam daripada penganutnya dan membatalkan kewajipan berjihad menentang penjajah.
Kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada tahun 1924 dilakukan oleh umat Islam sendiri. Begitu juga kejatuhan kesultanan Islam di Nusantara oleh orang-orang Melayu Islam yang kuat ibadatnya sahaja, tetapi jahil dalam urusan agama yang bersifat al-din.
Sehinggakan, para ulama’ yang berpendidikan agama Islam yang bertafaqquh dan berjuang mempertahankan Islam dianggap bodoh, bukan ilmuwan, dan tidak profesional, sebaliknya hanya yang berilmu dunia sahaja dianggap ilmuwan dan profesional. Maka, perjuangan Islam yang sempurna dianggap bodoh, menepati sifat golongan munafiq yang didedahkan oleh Allah SWT.
Ada p**a yang menipu meletakkan jenama Islam sekadar kosmetik kecantikan yang menggoda seperti Islam liberal, Islam progresif, madani, dan lain-lain.
Inilah punca bencana politik, ekonomi, sosial, dan alam sekitar yang memusnahkan. Oleh itu, wajib kembali semula kepada Islam (al-din), petunjuk Allah Yang Maha Mengetahui urusan makhluk-Nya.
Baca selanjutnya:
https://www.facebook.com/share/p/19pAtqLyk3/?mibextid=wwXIfr