29/08/2026
BUILT BY MOT, A LEGACY FOR SARAWAK
1979 β 2026 | 47 Years of Building, Growth and Service
BINTULU, 28 Ogos 2026 β Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) hari ini mengadakan Majlis Makan Malam Perpisahan LPB daripada Kerajaan Persekutuan, yang dihadiri oleh YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak dan YB Loke Siew F**k, Menteri Pengangkutan Malaysia bertempat di Imperial Hotel Bintulu.
Majlis ini bukan sekadar sebuah perpisahan, tetapi penghormatan kepada perjalanan 47 tahun LPB di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) serta penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama membina dan mengembangkan Pelabuhan Bintulu.
Sejak 1979, LPB telah berkembang daripada sebuah institusi yang dibentuk untuk merealisasikan visi pembangunan pelabuhan laut dalam di Bintulu kepada salah satu aset strategik penting Sarawak, menjadi pintu perdagangan, pemangkin perindustrian dan penghubung Sarawak kepada pasaran dunia.
MOT bukan sekadar membina pelabuhan, tetapi turut membina institusi, tadbir urus, kepakaran dan budaya perkhidmatan yang menjadi asas kepada perkembangan Pelabuhan Bintulu selama hampir lima dekad.
Proses pertukaran status yang bermula pada tahun 2023 dan diperkukuh melalui pelbagai rundingan serta proses perundangan sejak 2024 akhirnya membawa kepada pertukaran status Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak berkuat kuasa 1 September 2026.
LPB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, ahli lembaga pengarah, agensi-agensi kerajaan, warga kerja, pesara serta semua pemegang taruh atas sumbangan dan komitmen dalam memastikan perjalanan serta proses peralihan ini dapat dilaksanakan dengan lancar.
1 September 2026 bukanlah sebuah pengakhiran, tetapi permulaan kepada bab baharu. Legasi yang dibina bersama selama 47 tahun kini diserahkan kepada Sarawak untuk diteruskan, diperkasakan dan dibawa ke tahap yang lebih tinggi.
~Dibina oleh MOT.
Diperkasa melalui 47 tahun perkhidmatan.
Kini menjadi legasi dan amanah untuk Sarawak.~