14/08/2026
PROGRAM OUTREACH KOREKTIF DAN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN PERINGKAT PUSAT KOREKSIONAL BINTULU/PPK/PPA TAHUN 2026
Pada 12 Ogos 2026 (Rabu), telah diadakan Program Outreach Korektif dan Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Pusat Koreksional Bintulu/ PPK/ PPA. Program ini melibatkan seramai 6 orang prospek, 18 orang ahli keluarga dan turut diserikan dengan penglibatan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGO) dan komuniti luar antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Bintulu, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Bintulu Port Holdings Berhad, Persatuan Prison Fellowship Sarawak Association Bintulu Chapter, Penghulu Kawasan Samalaju Bintulu dan Ketua Kaum.
Objektif penganjuran program ialah meningkatkan motivasi dan keyakinan untuk memulakan kehidupan baharu, memberikan pengalaman bernilai melalui interaksi dengan keluarga dan pihak luar, mempersiapkan prospek dari segi mental, emosi, ilmu pengetahuan, dan sosial serta meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap usaha pemulihan Jabatan Penjara Malaysia terhadap prospek.
Atur cara program dimulakan dengan sesi ceramah motivasi dan perkongsian kisah perjalanan kehidupan dan kejayaan oleh Penceramah jemputan iaitu Encik Leong Bon Huat (Ikon Penjara Malaysia Koreksional & Rehabilitasi) bersama Pegawai Psikologi dan Pegawai Kebajikan institusi. Selain itu, turut diadakan pameran dan kibaran jalur gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dalam menyemai rasa kecintaan kepada negara. Program turut dimeriahkan dengan kehadiran PP Hasbullah bin Berahim, Timbalan Pengarah Pusat Koreksional Bintulu/ PPK/ PPA. Program diakhiri dengan sesi beramah mesra, jamuan makan dan bergambar.