05/06/2026
Klik Kolej Komuniti Beaufort
KKBS LAWAT TAPAK PROJEK PEMASANGAN SISTEM RAWATAN AIR SOLAR DI KAMPUNG NABAHAN
WESTON, 4 Jun – Pengarah Kolej Komuniti Beaufort (KKBS), Ts. Julkifli Awang Besar telah mengadakan lawatan penilaian tapak bagi Projek Pemasangan Sistem Rawatan Air Solar di Kampung Nabahan, Weston Beaufort. Projek ini telah diluluskan di bawah inisiatif Projek Sandbox–Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) yang bertujuan menyediakan penyelesaian bekalan air bersih yang mampan melalui penggunaan teknologi tenaga solar.
Lawatan tersebut diadakan bagi meninjau kesesuaian lokasi serta membincangkan aspek teknikal dan pelaksanaan projek yang dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat. Inisiatif ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuhkan penggunaan teknologi hijau dan inovasi bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Dr. Clarence M. Ongkudon dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku Ketua Projek, Ir. Ts. Mazuwan Mustaffa dari Kolej Komuniti Kuala Langat, Ketua Unit Keusahawanan KKBS Puan Ummu Ammarah Abd. Halim, wakil Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) serta wakil WAIGS Sdn. Bhd.
Melalui kerjasama strategik antara institusi pendidikan, industri dan komuniti, projek ini diharapkan dapat menjadi model penyelesaian lestari bagi isu bekalan air bersih di kawasan luar bandar. Selain memberi manfaat kepada penduduk Kampung Nabahan, pelaksanaan projek ini juga berpotensi menjadi platform pembelajaran dan pemindahan teknologi yang memberi impak kepada pembangunan komuniti setempat.
polycc.edu.my
Politeknik.kolejkomuniti
Ketua Pengarah JPPKK - Shamsuri Abdullah