17/03/2026
𝐏𝐞𝐫𝐤𝐮𝐤𝐮𝐡 𝐈𝐧𝐝𝐮𝐬𝐭𝐫𝐢 𝐆𝐞𝐭𝐚𝐡 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚 𝐌𝐞𝐥𝐚𝐥𝐮𝐢 𝐀𝐠𝐞𝐧𝐝𝐚 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐞𝐥𝐢 𝐆𝐞𝐭𝐚𝐡 𝐔𝐭𝐚𝐦𝐚
Dalam mendepani ketidaktentuan global, Kerajaan kekal komited untuk memperkasa sektor komoditi getah negara melalui pendekatan yang lebih strategik, bersepadu dan berimpak tinggi, demi memastikan kemampanan ekosistem pembangunan negara khususnya yang melibatkan komuniti pekebun kecil.
Selaras dengan aspirasi tersebut, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA akan terus memperkukuh peranan sebagai Pembeli Getah Utama (anchor buyer), sekali gus meningkatkan purata harga belian oleh RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) daripada sekitar RM3.00 kepada RM3.70 sekilogram.
Sebelum ini, harga getah di peringkat ladang hanya sekitar RM3.00 sekilogram, menyebabkan pekebun kecil berkeluasan satu hektar hanya memperoleh kira-kira RM750 sebulan.
Peningkatan ini secara langsung melonjakkan purata pendapatan bulanan pekebun kecil daripada RM1,125 kepada RM1,387.50, dengan tambahan sekitar RM387.50 sebulan atau RM4,650 setahun bagi setiap pekebun kecil. Bagi kebun seluas 1.5 hektar, pendapatan dijangka mencecah RM1,708 sebulan, manakala bagi keluasan 2.0 hektar ke atas, berpotensi mencapai sekitar RM2,278 sebulan.
Inisiatif ini dilaksanakan melalui Program Pengeluaran Getah dengan pelantikan RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) sebagai agen pelaksana bagi pembelian getah secara runcit dan berkelompok. Langkah ini berlandaskan peruntukan di bawah Akta RISDA 1972 (Akta 85) yang memberi ruang kepada RISDA memainkan peranan lebih aktif dalam rantaian perdagangan getah negara.
Melalui pelaksanaan ini, RISDA memperkenalkan pendekatan yang lebih adil dan telus, termasuk penetapan potongan harga maksimum di Semenanjung, penambahbaikan insentif berasaskan output, rundingan harga yang lebih kompetitif bersama kilang pemprosesan, serta pemanfaatan 181 depo pengumpulan sedia ada di seluruh negara. Bagi kawasan tanpa kemudahan depo, perkhidmatan Pemasaran Getah Bergerak (PGB) turut diperkenalkan bagi memudahkan urusan pekebun kecil.
Dalam tempoh pelaksanaan aktif sejak awal Januari 2026, RISDA telah berjaya membeli dan mengumpul sebanyak 1,197.77 tan metrik getah pekebun kecil dengan nilai belian terkumpul RM3.79 juta setakat Februari. Ini membuktikan bahawa dasar yang tepat mampu mengembalikan keyakinan pekebun kecil untuk kembali aktif mengusahakan kebun mereka.
Lebih penting, inisiatif ini dijangka memberi impak signifikan kepada negara. Pengeluaran getah domestik berpotensi meningkat sehingga 75 peratus, dengan sasaran kutipan 300,000 tan metrik pada tahun 2026, sekali gus menyumbang sekitar 29 peratus kepada keperluan domestik.
Langkah ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli yang dianggarkan bernilai RM7.6 bilion pada tahun 2024.
Inisiatif RISDA sebagai Pembeli Getah Utama merupakan langkah strategik untuk mengangkat semula martabat industri getah negara, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, meningkatkan pendapatan rakyat desa, serta memastikan masa depan sektor komoditi ini kekal berdaya saing.
Kerajaan akan terus memastikan agenda memakmurkan lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara dapat direalisasikan secara menyeluruh, selaras dengan semangat Aspirasi Desa MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi dan pembangunan yang saksama.