19/05/2026
KENYATAAN MEDIA PAS SELAYANG
---------------------------------------
JUNJUNG HORMAT TITAH D.Y.M.M SULTAN SELANGOR - PEMIMPIN WAJIB MENJAGA AKHLAK DAN ADAB KEPADA INSTITUSI DIRAJA
Saya menjunjung penuh titah dan kenyataan rasmi DYMM Sultan Selangor berhubung isu penghormatan terhadap institusi Raja serta penghayatan prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan keharmonian negara ini.
Kenyataan Baginda bukan sekadar teguran biasa, bahkan suatu peringatan besar kepada seluruh rakyat dan khususnya para pemimpin politik bahawa kebebasan bersuara mestilah dipandu oleh adab, batas Perlembagaan dan rasa hormat terhadap institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi payung negeri dan negara.
Dalam dunia politik yang semakin kehilangan sempadan hikmah, masih ada garis yang wajib dipelihara. Apabila seorang wakil rakyat atau pemimpin gagal membezakan antara keberanian bersuara dengan kebiadaban terhadap institusi negeri, maka di situlah runtuhnya nilai kenegaraan yang selama ini menjadi benteng perpaduan rakyat.
Apa saja tindakan mahupun kenyataan mana-mana pihak yang memilih untuk mempertikaikan atau memperlekeh arahan daripada institusi Raja secara terbuka adalah perlu ditegur dan sewajarnya diambil tindakan sebagai peringatan.
Sikap seperti ini bukan sahaja mencalar adab ketimuran dan semangat Perlembagaan, malah memberi contoh yang amat buruk kepada generasi muda yang sedang memerhati tingkah laku pemimpin mereka.
Rukun Negara p**a tidak lahir daripada suasana tenang dan damai. Ia lahir daripada sejarah hitam perpecahan kaum yang pernah membakar negara. Maka apabila prinsip-prinsip asas itu dipandang ringan, hakikatnya kita sedang membuka ruang kepada bibit kebencian dan perpecahan untuk kembali tumbuh dalam masyarakat.
Tunku Abdul Rahman pernah mengingatkan:
“Negara ini dibina bukan dengan kebencian, tetapi dengan persefahaman dan hormat antara satu sama lain.”
Begitu juga kata-kata keramat Allahyarham Tun Hussein Onn:
“Kekuatan sesuatu bangsa terletak pada perpaduan rakyatnya.”
Kata-kata ini bukan sekadar nostalgia sejarah, tetapi amanah besar buat generasi hari ini agar tidak meruntuhkan apa yang telah dibina dengan pengorbanan pemimpin terdahulu.
Demokrasi tidak pernah mengajar rakyat menjadi biadab. Kebebasan bukan tiket untuk merobohkan adab. Politik p**a tidak boleh dijadikan alasan untuk mencabar kemuliaan institusi Raja yang menjadi lambang kestabilan negeri dan negara.
Sehubungan itu, saya menyokong penuh supaya tindakan sewajarnya diambil menurut saluran dan peruntukan yang ada demi memelihara kemuliaan Dewan Negeri Selangor serta mempertahankan maruah institusi Raja Berperlembagaan.
Akhirnya, saya menyeru seluruh rakyat tanpa mengira latar politik agar kembali kepada asas perpaduan negara — menghormati Perlembagaan, menjunjung institusi Raja, memelihara adab dalam perbezaan pandangan dan menghayati semula roh sebenar Rukun Negara.
“Negara akan rosak apabila lidah tidak mengenal batasan, dan kuasa yang tidak lagi tunduk kepada adab.”
ZAIDY BIN ABDUL TALIB
YDP PAS KAWASAN SELAYANG
19 MEI 2026