14/06/2026
14 JUN 2026 | 𝐃𝐔𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐑𝐈𝐍𝐓𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐊𝐒𝐀𝐍𝐀𝐀𝐍 𝐒𝐈𝐒𝐓𝐄𝐌 𝐉𝐄𝐉𝐀𝐊 𝐆𝐏𝐋- 𝐅𝐀𝐌𝐀 | BERNAMA
SHAH ALAM, 13 Jun (Bernama) -- Tanaman durian dipilih sebagai projek perintis bagi
pelaksanaan Sistem Jejak GPL dalam usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
(FAMA) memperkukuh agenda pembangunan dan pemasaran sektor agromakanan negara.
FAMA menerusi kenyataan memaklumkan sistem digital yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) Ke-13 itu, membolehkan maklumat pengeluaran dan rantaian bekalan produk pertanian direkod, dipantau dan dijejak secara masa nyata bagi
meningkatkan ketelusan, integriti serta kebolehkesanan produk yang dipasarkan dan
dieksport.
“Durian telah dipilih sebagai projek perintis bagi pelaksanaan sistem tersebut sebelum
diperluaskan kepada komoditi lain yang berpotensi untuk pasaran eksport seperti tembikai, betik dan belimbing.
“Inisiatif ini dijangka memperkukuh lagi keupayaan negara dalam memenuhi keperluan
pasaran antarabangsa yang semakin menitikberatkan aspek kebolehkesanan dan jaminan kualiti produk,” menurut kenyataan itu.
FAMA yakin kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta seperti MAPC
Sdn Bhd akan terus memperkukuh ekosistem pemasaran agromakanan negara serta
menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab pengeluaran dan pengeksport durian premium
yang berdaya saing di peringkat global.
Terdahulu, FAMA hari ini melaksanakan Program Lawatan Industri dan Pemerkasaan
Kerjasama Strategik bersama syarikat pengeksport durian, MAPC Sdn Bhd yang berlangsung di premis syarikat tersebut di Pandamaran, Pelabuhan Klang.
Lawatan yang diketuai Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri bersama barisan
pengurusan tertinggi lembaga tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan bagi
memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam meningkatkan daya saing produk
agromakanan negara di pasaran domestik dan antarabangsa.
Program itu memberi tumpuan kepada perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan rantaian bekalan eksport durian meliputi pensijilan MyGAP dan aspek GPL iaitu penggredan, pembungkusan dan pelabelan produk yang menjadi elemen penting dalam memenuhi keperluan pasaran global, khususnya China yang merupakan antara destinasi eksport utama durian Malaysia.
MAPC Sdn Bhd merupakan antara syarikat pengeksport durian terkemuka negara dengan
kira-kira 90 peratus hasil duriannya dieksport ke pasaran China. “Bagi tempoh 2023 hingga 2025, syarikat ini telah mencatatkan nilai eksport durian berjumlah RM150 juta, sekali gus membuktikan keupayaannya sebagai pemain utama dalam industri
eksport durian Malaysia.
“Kejayaan ini turut disokong oleh penggunaan platform digital dan media sosial seperti
Douyin, WeChat dan Xiaohongshu bagi memperluas capaian pasaran serta
memperkukuh penjenamaan durian premium Malaysia di peringkat antarabangsa,
” menurut kenyataan tersebut.
Sempena lawatan tersebut, FAMA turut menyampaikan penghargaan kepada syarikat
berkenaan yang merupakan pemegang Pensijilan Malaysia’s Best.
“FAMA yakin kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta seperti MAPC Sdn Bhd akan terus memperkukuh ekosistem pemasaran agromakanan negara serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab pengeluaran dan pengeksport durian premium yang berdaya saing di peringkat global, ” menurut kenyataan itu.
Mohamad Sabu
Chan Foong Hin 陈泓缣
Abdul Rashid Bahri
PMO Malaysia
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
FAMA, Sistem Jejak GPL, durian, pembangunan