29/11/2025
Innalillahiwainnailaihirojiun
Alfatihah buat sahabat …
*إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْن*
Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali
“Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia.”
Takziah buat seluruh keluarga
Semoga roh Allahyarham Tuan Haji Mashadie Bin Saien sentiasa dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.
Aamiin Allahumma Aamiin
Assalamualaikum wbt sahabat-sahabat yang dikasihi,
إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون
Dengan rasa dukacita yang amat mendalam, saya memaklumkan bahawa sahabat seperjuangan kita, Haji Mashadie bin Saien (Kang Mashadi Adie), telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 12.30 pagi tadi, 29 November 2025.
Allahyarham merupakan antara anggota Jabatan Amal Negeri Selangor yang paling komited dalam misi kebajikan dan sukarelawan. Baru sahaja pulang dari PERLIS selepas terlibat dalam Operasi Rescue Banjir, dan meskipun berada dalam keadaan keletihan akibat perjalanan jauh, beliau tetap memilih untuk meneruskan khidmat tanpa henti dengan menuju ke Kampung Labu Lanjut, Sepang bagi membantu mangsa banjir di sana.
Dalam perjalanan melaksanakan amanah tersebut, Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri di dalam kenderaan yang terperangkap banjir sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Polis dan KKM.
Allahyarham pergi dalam keadaan beramal, di medan khidmat yang beliau cintai, saat membantu masyarakat tanpa mengenal penat. Kita bersaksi bahawa beliau seorang yang baik, amanah, ringan tulang dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam misi-misi kebajikan dan sukarelawan. Perginya seorang pejuang yang tulus, yang hidupnya dihabiskan untuk memberi.
Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang diredhai serta mengangkat segala amal baktinya sebagai cahaya yang menyelamatkan dan menerangi alam barzakh.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
“Ya Allah, ampunkanlah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah dia.
Masukkanlah dia ke dalam syurga-Mu, dan lindungilah dia daripada azab kubur dan azab neraka.”
Mohamed Sukri Omar
Ketua Pemuda PAS Selangor