21/05/2025
Program CEPA Konservasi Marin dan Libat Urus Perikanan Selangor 2025 Meriah di Batu Laut, Kuala Langat
Batu Laut, Kuala Langat, 20 Mei 2025 (Selasa) β Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) Konservasi Marin Perikanan Selangor 2025 serta Program Libat Urus dan Interaksi Pengembangan Perikanan Bersama Komuniti Daerah tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Pantai Batu Laut, Kuala Langat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Borhan Bin Aman Shah, EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor. Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Puan Noraishah Binti Abu Bakar; Pegawai Daerah Kuala Langat, YM Tengku Rohana Binti Tengku Nawawi; Tuan Idham Saiful Bin Said selaku Pengarah SPNB Negeri Selangor; serta ketua-ketua jabatan dan agensi berkaitan.
Program ini telah dihadiri oleh 180 orang nelayan dari Daerah Kuala Langat dan Sepang. Ia dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Perikanan Negeri Selangor, sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan dan interaksi, antaranya:
1. Pameran peralatan perikanan terlarang dan model tukun tiruan oleh CKOOP
2. Pameran daripada pihak SPNB
3. Taklimat Konservasi dan Penguatkuasaan oleh CKOOP
4. Taklimat pembangunan daripada SPNB Negeri Selangor
Objektif utama program ini adalah untuk menyampaikan maklumat dan dasar jabatan kepada kumpulan sasar, khususnya komuniti nelayan tempatan, di samping menggalakkan perbincangan dua hala serta meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pemuliharaan sumber marin dan pematuhan undang-undang perikanan.
Sebagai simbolik komitmen terhadap pemeliharaan sumber marin, program diakhiri dengan acara gimik mendirikan papan tanda Notis Larangan Perikanan mengikut Akta Perikanan 1985 di kawasan Pantai Batu Laut.