23/05/2026
AGENSI NUKLEAR MALAYSIA ANJUR PROGRAM βATOMS4FOOD INITIATIVE ENGAGEMENTβ, PERKASA PERANAN TEKNOLOGI NUKLEAR DALAM SEKURITI MAKANAN NEGARA
BANGI, 19 Mei 2026 : Agensi Nuklear Malaysia melalui Bahagian Agroteknologi dan Biosains (BAB) telah menganjurkan program βAtoms4Food Initiative Engagementβ bertempat di Bilik Seminar, Blok 11, Agensi Nuklear Malaysia, Bangi, Selangor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), Agensi Nuklear Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menegaskan peranan strategik teknologi nuklear dalam menangani cabaran sekuriti makanan global, kesan perubahan iklim serta keperluan meningkatkan produktiviti dan daya tahan sektor pertanian negara secara mampan.
Beliau turut menekankan bahawa pendekatan berasaskan sains dan inovasi termasuk aplikasi teknologi nuklear mampu menyokong pembangunan sistem makanan yang lebih cekap, selamat dan berdaya saing selaras dengan agenda pembangunan negara.
Penganjuran program ini adalah bersempena dengan sesi lawatan kerja Dr. Fatma Sarsu, Pegawai Teknikal dari Seksyen Pembiakbakaan dan Genetik Tumbuhan, Pusat Bersama FAO/IAEA, Vienna, Austria ke Malaysia. Ia merupakan platform strategik bagi memperkukuh penglibatan pihak berkepentingan dalam pembangunan sektor agromakanan melalui aplikasi teknologi nuklear yang inovatif, selamat dan mampan.
Melalui sesi syarahan tersebut, Dr. Fatma Sarsu telah berkongsi mengenai pelaksanaan inisiatif Atoms4Food yang memberi fokus kepada penggunaan teknik nuklear dan bioteknologi dalam meningkatkan pengeluaran makanan, pembangunan varieti tanaman baharu, peningkatan ketahanan tanaman terhadap penyakit dan tekanan persekitaran serta pengurusan sumber pertanian secara lebih efisien dan lestari.
Program syarahan ini membuka peluang bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan, universiti, industri dan komuniti pertanian dalam memperluaskan pemindahan teknologi serta perkongsian kepakaran. Program ini telah dihadiri oleh pemegang-pemegang taruh dan rakan-rakan kerjasama seperti Jabatan Pertanian Malaysia, MADA, KADA, wakil-wakil pihak universiti, pengeluar benih sah, petani dan lain-lain.
Inisiatif Atoms4Food merupakan program kerjasama antara International Atomic Energy Agency (IAEA) dan Food and Agriculture Organization (FAO) bagi membantu negara anggota memperkukuh sekuriti makanan dan menangani isu kelaparan global melalui aplikasi teknologi nuklear dan isotop. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pembangunan varieti tanaman lebih tahan dan berkhasiat, pengurusan tanah dan air, kawalan perosak, kesihatan haiwan, keselamatan makanan serta pemakanan awam.
Atoms4Food turut menyediakan penilaian keperluan negara, latihan teknikal, pemindahan teknologi dan kerjasama strategik antarabangsa bagi menyokong pembangunan sistem agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan selamat menghadapi cabaran perubahan iklim global.
Melalui inisiatif global ini juga, IAEA bersama FOA turut menyediakan sokongan teknikal, latihan, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti dan kerjasama penyelidikan antarabangsa bagi mempercepat penerapan teknologi nuklear dalam sektor pertanian dan makanan.
Inisiatif ini juga menyokong pembangunan tanaman bernilai tinggi, peningkatan nutrisi makanan, pengurusan tanah dan air secara mampan serta pengurangan kehilangan hasil pertanian.
Agensi Nuklear Malaysia terus komited memainkan peranan aktif sebagai rakan strategik IAEA dalam memperkasa inovasi nuklear bagi menyokong keselamatan makanan, pembangunan pertanian mampan dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.