13/08/2026
Syabas Dan Tahniah Yang Berbahagia OKK Haji Yunus bin Ambar dilantik sebagai Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri N.6 Bandau yang baharu.
13 Ogos 2026
Mahkamah Anak Negeri N.6 Bandau kini secara rasminya diperkasakan lagi menerusi pelantikan Yang Berbahagia OKK Haji Yunus bin Ambar sebagai Ketua Daerah yang baharu berkuatkuasa 13 Ogos 2026.
Penyampaian Watikah Pelantikan dan pemakaian Jubah Ketua Daerah telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.6 Bandau, YB Datuk Dr. Maijol Mahap.
Dalam ucapan beliau, YB Datuk Dr. Maijol Mahap menyampaikan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas pelantikan tersebut serta menzahirkan harapan agar OKK Haji Yunus dapat melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh dedikasi. Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara pimpinan baharu bersama Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), serta Ketua-Ketua Kampung.
Sedikit Latar Belakang & Profil OKK Haji Yunus bin Ambar
OKK Haji Yunus, 67, yang dilahirkan di Kampung Ongkilan pada 16 Februari 1959, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan agensi, bermula di Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu pada tahun 1979 sebelum berkhidmat di Yayasan Sabah selama hampir empat dekad sehingga bersara sebagai Pengurus Yayasan Sabah Zon Pantai Timur Utara, Sandakan pada tahun 2019.
Selain cemerlang dalam kerjaya, beliau juga aktif dalam bidang kemasyarakatan tempatan, antaranya sebagai Pengerusi Masjid Ongkilan serta menganggotai Lembaga Penanam Sawit Mampan Kota Marudu dan Pekebun Kecil Sawit.
Turut Hadir Memeriahkan
Majlis penuh bermakna ini antaranya:
* Puan Meirin Sugara Pegawai Daerah Kota Marudu
* Puan Julita Dalinsi PPM N.6 Bandau
* OKK Tuan Elui Majingkin Ketua Daerah N.7 Tandek
* Puan Naney Nartina Liman Penolong Pegawai Eksekutif MDKM
* Tuan Marck Hassan Libau Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu ( Pembangunan)
*Tuan Suffian Majid Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu ( Pentadbiran)
* Kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.6 Bandau
* Barisan KAN, WKAN, serta Ketua-Ketua Kampung N.6 Bandau
* Ahli Jawatankuasa Pelaksana dan tetamu jemputan
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama YB Datuk Dr. Maijol Mahap, Ketua Daerah baharu, serta barisan dif-dif jemputan sebagai tanda sokongan penuh terhadap kepimpinan baharu Mahkamah Anak Negeri N.6 Bandau.
Sebagai rekod, Tuan Haji Yunus Bin Ambar menggantikan OKK Mohammad Bin Mahmat.