14/06/2026
FORUM PERDANA EHWAL ISLAM
“HIJRAH MEMBINA BACHOK SEJAHTERA: KELUARGA RABBANI TERAS KESEJAHTERAAN UMMAH”
BACHOK, 12 Jun – Masjid Jamek Mahmoodi, Bachok menjadi tumpuan masyarakat apabila berlangsungnya Forum Perdana Ehwal Islam bertemakan “Hijrah Membina Bachok Sejahtera: Keluarga Rabbani Teras Kesejahteraan Ummah” yang menghimpunkan tokoh-tokoh agama dan penduduk setempat dalam satu program ilmiah yang penuh manfaat.
Program anjuran Masjid Jamek Mahmoodi Bachok dengan kerjasama Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDBBPI), Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok, Pejabat Agama Jajahan Bachok serta Kelantan FM ini merupakan antara usaha berterusan dalam memperkukuhkan agenda pembangunan insan dan penghayatan nilai-nilai Islam di daerah Bachok.
Forum tersebut menampilkan Prof. Madya Dr. Mohd Azhar bin Abdullah dan Ustaz Mokhtar bin Yaakob sebagai ahli panel, manakala sesi dikendalikan oleh Ustaz Ameer Azeezy bin Tuan Abdullah selaku moderator. Perbincangan menyentuh peranan keluarga dalam membentuk masyarakat yang berakhlak, berilmu dan sejahtera sejajar dengan tuntutan Islam.
Pelaksanaan program seumpama ini selaras dengan aspirasi Bachok sebagai Bandar Pelancongan Islam, yang bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan fizikal dan sektor pelancongan, malah memberi penekanan kepada pembangunan rohani, pembentukan sahsiah serta pengukuhan institusi keluarga dan komuniti.
Inisiatif ini turut membuktikan bahawa Bachok komited dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan, sekali gus memperkukuhkan identiti daerah tersebut sebagai destinasi pelancongan yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat serta menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Bachok sebuah bandar yang maju, sejahtera dan diberkati, selaras dengan visi Bachok Bandar Pelancongan Islam.