02/06/2025
31 MEI 2025 | KANDANG, MELAKA — Dalam semangat kebersamaan dan kasih sayang sesama insan, satu program penuh bermakna bertajuk Ziarah Kasih telah diadakan di kawasan Kandang, Ayer Molek. Program ini menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang dalam usaha menzahirkan keprihatinan terhadap warga emas, ibu tunggal, serta golongan yang memerlukan.
Kunjungan dari rumah ke rumah oleh Ketua Srikandi Bahagian Hang Tuah Jaya dan para sukarelawan Srikandi BERSATU Bahagaian Hang Tuah Jaya ini bukan sahaja membawa sumbangan barangan keperluan harian, malah yang lebih penting – membawa senyuman, doa dan rasa dihargai kepada mereka yang diziarahi.
Bagi Mak Nab, yang telah menetap di Kandang lebih 20 tahun, lawatan ini amat menyentuh hati.
> “Bukan nilai barangan yang penting, tapi rasa disayangi dan tidak dilupakan. Saya amat terharu,” katanya sambil mengesat air mata.
Program ini turut menampilkan kehadiran Pn SK Roseniza Muamad atau lebih mesra dipanggil Kak Rose yang tidak kekok menyingsing lengan bersama penduduk, membuktikan bahawa kepimpinan yang baik bermula dengan keprihatinan terhadap rakyat di akar umbi.
Ziarah Kasih bukan sekadar program kebajikan – ia adalah cerminan nilai murni yang menjadi nadi kepada masyarakat Ayer Molek. Di sebalik kesederhanaan, terserlah semangat muafakat yang mengikat penduduk di kawasan ini.
Sebagai salah satu kampung bersejarah di Melaka, Kandang terus membuktikan bahawa kekuatan sebenar sesuatu komuniti terletak pada semangat tolong-menolong dan kasih sayang sesama manusia.
Ayer Molek di hatiku – kerana kasih yang ditabur, sentiasa berputik.