13/05/2026
"Kecil Dari Kita, Besar Buat Mereka" – Bangunkan Negeri Melalui Kuasa Zakat dan Wakaf
"Mungkin bagi kita ia sekadar nilai segelas kopi, namun bagi mereka, ia adalah sinar harapan untuk meneruskan kelangsungan hidup." Itulah mesej mendalam yang dibawa dalam Forum Bual Bicara Zakat, Wakaf dan Sedekah bertemakan "Kecil Dari Kita, Besar Buat Mereka" yang berlangsung meriah di Masjid Haji Yasin, Sedim, Kulim hari ini.
Program yang menjadi pengisian utama Jelajah Dakwah Pusat Sedekah dan Wakaf LZNK Peringkat Daerah Kulim Bandar Baharu ini berjaya menghimpunkan barisan kepimpinan LZNK untuk mengupas strategi ampuh dalam memperkasakan ekonomi ummah.
Di bawah kendalian Ustaz Ahmad Dandrawi bin Kamaruddin selaku moderator, perbincangan dimulakan dengan kupasan tuntas oleh Ustaz Muhamad Shafiq bin Farik mengenai realiti kutipan dan ketelusan agihan zakat di daerah ini bagi memastikan tiada asnaf yang terpinggir daripada radar bantuan.
Suasana forum semakin menyuntik inspirasi apabila Ustaz Abdul Hadi Bin Abd Majid, Pengarah Pusat Sedekah dan Wakaf LZNK, membongkar visi besar di sebalik pengurusan dana sedekah dan pelancaran Wakaf Tunai Projek Hassan (Kilang Padi). Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar projek pembangunan, tetapi sebuah jihad sekuriti makanan untuk memastikan rakyat Kedah mempunyai akses kepada bekalan beras yang stabil tanpa manipulasi.
Melalui slogan "Negeri Kita, Kita Bangun", forum ini jelas membuktikan bahawa sumbangan sekecil mana pun daripada masyarakat, sekiranya diuruskan dengan amanah dan strategik, mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sosio-ekonomi yang luar biasa bagi seluruh negeri.