14/06/2026
LIGA SUKAN KOMUNITI PERINGKAT DAERAH KOTA SETAR BERJALAN LANCAR
ALOR SETAR, KEDAH, 13 Jun 2026 – Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Daerah Kota Setar 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, melibatkan penyertaan aktif komuniti setempat dalam suasana penuh semangat kesukanan dan perpaduan.
Sebanyak tiga acara sukan telah dipertandingkan pada kali ini iaitu Acara Bola Tampar Lelaki, Bola Jaring Wanita dan Futsal Lelaki. Penyertaan yang memberangsangkan berjaya direkodkan dengan penglibatan 10 pasukan bagi acara Bola Jaring, 9 pasukan Bola Tampar, manakala 16 pasukan menyertai pertandingan Futsal.
Penganjuran Liga Sukan Komuniti ini merupakan antara inisiatif bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan silaturahim melalui aktiviti sukan. Menariknya, LSK 2026 turut dilaksanakan secara serentak di kesemua 12 daerah di Negeri Kedah, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasakan pembangunan sukan komuniti di peringkat akar umbi.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pn. Nazifah Bt. Muhamad Zubir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Setar. Turut hadir memeriahkan program ialah Pn. Oii Siew Kim, Presiden Kelab Sukan Kecergasan Rimba; Mr. Lee, Setiausaha Persatuan Bola Tampar Amatur Kota Setar; En. Mohd Akmal, Pengerusi Kelab Belia Tandop; Puan Shaharom, Presiden Bola Jaring Daerah Kota Setar; serta Cik Murni Bt. Ismail, Pembantu Belia dan Sukan merangkap Penyelaras Sukan Bola Jaring.
Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Kota Setar mengucapkan ucapan tahniah kepada semua pasukan yang menang dan bertanding. Terima kasih diucapkan kepada semua rakan kerjasama LSK Kota Setar Kelab Sukan Kecergasan Rimba, Persatuan Bola Tampar Amatur Kota setar, Persatuan Bola Jaring Daerah Kota Setar, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar serta Kelab Belia Tandop.
Penganjuran Liga Sukan Komuniti diharap dapat terus menjadi platform terbaik dalam mencungkil bakat baharu, meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sihat serta memperkukuhkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah