24/05/2026
KEDA TERUS MENYOKONG PRODUK IKS BUMIPUTERA
SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan terus komited dalam menyokong pembangunan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bumiputera di negeri Kedah bagi memperkasa ekonomi usahawan tempatan dan meningkatkan daya saing produk keluaran luar bandar.
Terbaharu, Syarikat Rajin Food Industries Sdn. Bhd. telah menerima bantuan mesin pembuatan meat ball di bawah Program Insentif Peningkatan Usahawan Terampil (INPUT) Tahun 2025 bagi membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat tersebut.
Syarikat berkenaan mengusahakan pembuatan makanan berasaskan daging serta produk makanan segera yang semakin mendapat permintaan dalam pasaran tempatan.
Pengerusi KEDA, YBhg Dato' Seri Mahdzir bin Khalid berkata, pihaknya berharap usahawan bumiputera terus konsisten, berinovasi dan berdaya saing bagi memastikan produk keluaran mereka mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
“KEDA mengharapkan agar produk ini dapat memasuki pasaran antarabangsa dan menyertai pameran berprestij seperti MIHAS serta platform perdagangan lain,” katanya ketika lawatan ke premis syarikat tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa KEDA akan terus membimbing dan membantu usahawan tempatan agar dapat berkembang secara mampan serta memperoleh pensijilan yang ditetapkan bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk keluaran mereka.
Turut hadir dalam program tersebut ialah YBhg Dato' Shahanim binti Mohamad Yusoff, Pengurus Besar KEDA, YBhg Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, Timbalan Pengurus Besar KEDA, Encik Khairul Azmeer Abu Bakar serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Pembangunan Usahawan KEDA.