08/04/2022
Masihkah Ada Harapan Untuk Warga UM?
Masyarakat UM menyanjung keputusan Tan Sri Zarinah Anwar mengarahkan Pengerusi UM Holdings Tan Sri Rahim Mohamad untuk meletakkan jawatan serta merta berikutan kemelut yang melanda. Rata-rata memuji ketegasan Tan Sri Zarinah Anwar yang dilihat seakan-akan seorang Iron Lady di sebalik riak wajah yang ayu, lembut dan menawan.
Tapi sayang, penghormatan yang diberikan itu tidak bermakna sedikit pun kerana rupa-rupanya Tan Sri Rahim Mohamad masih megah berdiri sebagai Pengerusi UM Holdings. Malah, Tan Sri Rahim Mohamad dikhabarkan telah menjemput kalangan pengurusan UM dan dekan-dekan untuk berbuka puasa bersama beliau selaku Pengerusi UM Holdings.
Kenapa ini berlaku? Adakah Tan Sri Zarinah Anwar masih takut untuk mengambil tindakan tegas disebabkan Tan Sri Rahim Mohamad adalah besan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin? Atau adakah sedang berlaku percaturan di belakang tabir ibarat kata Al-Capone “you scratch my back i will scratch your back”.
Difahamkan warga UM sedang menanti penjelasan Tan Sri Zarinah Anwar berhubung perkara ini. Tan Sri Zarinah perlu tampil memberi penjelasan segera yang mungkin memandangkan isu ini melibatkan kewangan dan maruah UM.
Kepada mereka yang baru dihidangkan dengan berita ini, izinkan saya untuk mengulangi semula bahawa Lembaga Pengarah UM Holdings telah membuat keputusan untuk membayar bonus kepada ahli-ahlinya berjumlah ratusan ribu ringgit. Persoalannya, wajarkah mereka ini dibayar bonus? Sedangkan syarikat-syarikat kerajaan yang lain tidak menikmati faedah seumpama ini.
Sebelum ini dilaporkan ketegasan dan kecekapan LPU menyelesaikan kemelut ini hingga menjadi sanjungan warga kampus dan warga KPT. Tapi sayang seribu kali sayang. Bak kata Datuk Khatijah Ibrahim.. “kusangka siang kiranya malam, diriku kini merana.” 😩
Warga UM terlalu kecewa dengan keadaan ini. Isu sebegini rupa pun tidak dapat diselesaikan oleh LPU. Apa lagi yang nak diharapkan sekiranya ada isu-isu besar yang lebih mencabar yang memerlukan ketegasan, kecekapan dan kemahiran.
Apakah perlu diganti barisan LPU yang sediada yang dilihat hanya pandai berkata-kata sedangkan natijahnya kosong belaka. Dimanakah amanah dan tanggungjawab yang diletakkan di bahu Tan Sri, Datuk, Tuan, Puan sekelian?
Kepada Tan Sri Zarinah Anwar.. jalankan tugasmu dengan penuh amanah, telus dan “with highest integrity”. Esok di dalam mahkamah Allah Rabbul Jalil apa yang kamu hendak perkatakan tentang keadilan dan kebaikan yang telah kamu laksanakan?
Nama Tan Sri memang dikenali seantero dunia. Jangan calarkan imej dan nama baik Tan Sri hanya dengan isu sekelumit ini. Sebagai Alumni UM ingatlah Tan Sri... disinilah bermulanya episod kegemilangan di dalam karier Tan Sri dan jangan hancurkan kegemilangan itu. Ayuh.. bertindaklah segera demi UM yang tercinta.
-Warga UM yang mengharap.