12/03/2026
Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bersama pengusaha-pengusaha Malaysia di Medan telah berganding bahu menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Santunan Anak Yatim pada 11 Mac 2026 bersamaan 21 Ramadan 1447H.
Seramai 50 orang anak yatim daripada Yayasan Al-Kahfi, Kota Medan telah diraikan oleh Konsul Jeneral Shahril Nizam Abdul Malek bersama keluarga besar KJM serta para pengusaha Malaysia dan rakan-rakan dari Indonesia.
Majlis ini turut mendapat sokongan daripada beberapa pengusaha Malaysia di Medan seperti PT. Multi Alam PRIMA Rasa (ADABI), Novad Jaya Tex, My Solutions, Biomics Solutions dan PT. Deli Food, serta dukungan daripada rakan pengusaha Indonesia termasuk PT. Seribu Rental dan para penyumbang individu.
Majlis ini dimeriahkan dengan pelbagai juadah berbuka puasa termasuk hidangan tradisional Malaysia, persembahan silap mata, boneka bicara serta pemberian duit raya kepada anak-anak yatim. Pihak Adabi Malaysia turut menyumbangkan pelbagai produk kepada pengurusan Yayasan Al-Kahfi.
Dalam ucapannya, Konsul Jeneral menekankan kepentingan semangat kebersamaan dan berkongsi rezeki khususnya di bulan Ramadan. Beliau turut menyatakan bahawa majlis ini merupakan manifestasi kesediaan para pengusaha Malaysia di Medan untuk menjalankan tanggungjawab sosial serta menyumbang kepada masyarakat, di samping komitmen KJM Medan untuk terus menyokong kerjasama dan perkembangan perniagaan Malaysia–Indonesia.
Semoga usaha ini membawa kegembiraan dan keberkatan kepada semua. 🤍