22/03/2026
PERUTUSAN BERSAMA KETUA CABANG & TIMBALAN KETUA CABANG KEADILAN JOHOR BAHRU SEMPENA AIDILFITRI 1447H/2026
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilham.
Sejujurnya, Ramadhan dan Syawal tahun ini menjadi ujian buat kami selama 2 tahun berturut². Tahun 2025 kami diuji dengan Pemilihan Keadilan di bulan puasa dan menjelang Aidilfitri. Kenangan mendaftar anggota parti untuk Pemilihan di awal sahur akan kekal sebagai asam garam perjuangan. Tahun ni kami diuji p**a dengan persediaan untuk MATC dan menghadapi pilihanraya. Demikianlah lumrah dunia politik, sentiasa ada ujian dan kejutan.
Apapun marilah kita raikan Syawal tahun ini dengan penuh rasa syukur dan keinsafan. Syukur kerana Allah mengizinkan kita untuk menyempurnakan ibadah puasa dan merayakan Aidilfitri dalam suasana aman dan makmur. Insaf kerana ada di kalangan kita yang tidak bernasib baik dan terpaksa menyambut Syawal dalam serba kekurangan dan memerlukan perhatian serta bantuan. Insya Allah, kami pimpinan Keadilan Cabang Johor Bahru akan terus berikhtiar membantu seadanya anggota parti dan warga Johor Bahru sesuai dengan kemampuan Cabang.
Saudara/i yang dikasihi,
Di saat kita bergembira dan ghairah berbelanja menyambut Aidilfitri, jangan p**a kita terlupa membuat simpanan dan berjimat cermat untuk keperluan masa akan datang. Justeru, budaya "Biar papa asal bergaya" seharusnya dijauhi terutama di tengah² ketidak tentuan ekonomi ekoran krisis dan perang di Asia Barat yang sedikit sebanyak tempiasnya turut dirasai dalam kitaran ekonomi domestik negara kita. Seperti mana nasihat YAB PMX Dato' Seri Anwar Ibrahim, raikan Aidilfitri tahun ini secara sederhana dan berjimat cermat.
Kami ingin kesempatan ini untuk mengucap Salam Aidilfitri 1447H/2026. Dengan penuh rasa insaf dan kerendahan hati, kami mohon ribuan ampun dan maaf sekiranya ada salah dan silap kami dari tutur bicara mahupun perbuatan yang mungkin telah menyinggung perasaan atau menyakiti hati saudara/i AJK Cabang, anggota² Keadilan dan seluruh warga Johor Bahru.
Sesungguhnya kami hanya hamba Allah yang lemah namun mempunyai kesungguhan untuk membawa perubahan ke arah Johor Bahru yang lebih baik.
Moga Allah memberkati kehidupan saudara/i dan melindungi Malaysia negara tercinta🇲🇾
Salam Aidilfitri. Minal Aidin Wal-Faizin.🙏🏼
Dengan Ingatan Tulus Ikhlas:
KEADILAN CABANG JOHOR BAHRU
MOHAMAD TAUFIQ BIN ISMAIL
Ketua Cabang
&
ZULKIFLI BIN ABDULLAH ZAWAWI
Timbalan Ketua Cabang
1 Syawal 1447H/21.03.2026