12/05/2026
Berakas, Selasa, 24 Zulkaedah 1447 bersamaan 12 Mei 2026-
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama menerima kunjungan hormat daripada Imam Shadi Alsuleiman, President of the Australian National Imams Council [ANIC] yang sedang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Negara Brunei Darussalam bermula 11 hingga 12 Mei 2026.
Majlis Kunjungan Hormat tersebut diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis pada pagi tadi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Yang Terutama Michael Hoy, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, dan Ms. Jenifer Zhao, Setiausaha Kedua di Suruhanjaya Tinggi Australia di Bandar Seri Begawan.
Kunjungan hormat ini menjadi wadah bagi bertukar pandangan dan pengalaman, di samping membincangkan peluang kerjasama dalam bidang perkhidmatan ugama. Dalam hubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama turut mengemukakan pelbagai potensi kerjasama antaranya program penghantaran imam dari Negara Brunei Darussalam ke masjid-masjid di Australia pada waktu-waktu yang bersesuaian sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala selain memperluas perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pengembangan syiar Islam antara kedua-dua negara.
Kunjungan Imam Shadi Alsuleiman ke negara ini adalah atas tajaan Kerajaan Australia. Lawatan ini juga merupakan susulan kepada kunjungan Dr Susan Carland, Australian Socioligist of Religion ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025.
Untuk berita penuh sila layari www.mora.gov.bn