22/01/2026
[LAWATAN KJB KE SATUN, KOH LIPE & PAK BARA (THAILAND)]
04 Januari 2026 - Kelab Jasa Budi telah menganjurkan lawatan ke Satun, Pak Bara & Koh Lipe (Thailand) pada 04 hingga 06 Januari 2026 selama 3 hari 2 malam.
Program lawatan kali ini telah disertai seramai 16 orang yang terdiri daripada Pesara USM, Ahli Kelab Jasa Budi dan pasangan. Peserta lawatan telah berkumpul di Masjid Al Malik Khalid, USM dan Masjid Seberang Jaya sebelum memulakan perjalanan. Peserta lawatan singgah terlebih dahulu di Gurun untuk bersarapan dan seterusnya meneruskan perjalanan menuju ke sempadan Bukit Kayu Hitam.
Perjalanan diteruskan dengan lawatan ke Air Terjun Wangsai Tong yang terkenal di Satun iaitu air terjun batu kapur di kawasan hutan dan suasana persekitarannya redup dengan pokok-pokok besar di sepanjang laluan serta terdapat kolam untuk berehat dan bermain air. Peserta kemudian dibawa untuk makan petang di _Orange Cafe._ Seterusnya, peserta dibawa untuk membuat pendaftaran masuk _(check in)_ di Hotel Sinkiat Thani, Satun.
Selepas sarapan pagi, peserta bertolak ke Jeti Pak Bara dan bergambar di Pak Bara _View Point._ Jeti ini merupakan sebuah terminal feri kecil dan moden yang menjadi sibuk terutamanya semasa musim puncak dari bulan November hingga April. Jeti Pak Bara juga menawarkan pemandangan tepi laut yang indah dan juga menempatkan kafe-kafe tempatan yang berdekatan dengan pantai. Seterusnya, peserta menaiki bot menuju ke Koh Lipe yang terkenal dengan jolokan _'Maldives of Thailand'._ Di sana, peserta berpeluang menjalankan aktiviti _snorkeling_ dan _island hoping._
Peserta seterusnya melawat Muzium Tunku Kudin yang turut dikenali sebagai _Kuden Mansion._ Muzium ini merupakan sebuah bangunan bersejarah berupa istana kayu yang berusia lebih 100 tahun dan mempamerkan sejarah serta budaya tempatan masyarakat Satun.
Selepas itu, peserta menikmati makan tengah hari di Tanyong Po dan menunaikan solat di Masjid Besar Satun. Dalam perjalanan pulang, peserta singgah di pekan Danok untuk aktiviti membeli-belah sebelum bertolak pulang destinasi masing-masing.
Program ini merupakan inisiatif Kelab bagi mengeratkan ukhwah dan persahabatan di antara Ahli Kelab Jasa Budi USM dan Pesara USM.
Koleksi kenangan bersama seperti di bawah ini :
https://photos.app.goo.gl/ZKtkCV55o9AGCiYTA
Shared album · Tap to view!