07/06/2026
MAJLIS PERSARAAN “TIGA PERMATA, SELAMANYA BERHARGA”
Pada 22 Mei 2026, telah berlangsung Majlis Persaraan “Tiga Permata, Selamanya Berharga” di Dewan Seri Bitara, SM Sains Tapah bagi meraikan persaraan tiga warga sekolah yang telah banyak menabur jasa dan bakti sepanjang perkhidmatan mereka, iaitu En. Tajul Ahmar, Puan Mahizatul dan Puan Habsah.
En. Tajul Ahmar yang merupakan Guru Bahasa Jepun, dikenali sebagai seorang pendidik yang tegas, berwibawa dan sentiasa komited dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa. Puan Mahizatul p**a merupakan Guru Matematik Tambahan yang sentiasa sabar, berdedikasi dan menjadi inspirasi kepada murid serta rakan sekerja. Sementara itu, Puan Habsah yang berkhidmat sebagai Ketua Pembantu Makmal telah banyak menyumbang tenaga dan kepakaran dalam memastikan kelancaran pengurusan makmal serta membantu warga sekolah dengan penuh keikhlasan.
Majlis berlangsung dalam suasana penuh penghargaan, kesyukuran dan emosi apabila warga sekolah mengenang segala jasa, pengorbanan serta kenangan yang telah ditinggalkan oleh ketiga-tiga tokoh tersebut. Persaraan mereka bukan sekadar berakhirnya satu tempoh perkhidmatan, malah menandakan berakhirnya satu era yang sarat dengan dedikasi dan pengorbanan.
Sesungguhnya, kehilangan tiga permata berharga ini amat dirasai oleh seluruh warga SM Sains Tapah. Namun, segala jasa, budi dan bakti yang telah dicurahkan akan terus terpahat dalam ingatan serta menjadi inspirasi kepada generasi yang akan datang. Semoga mereka dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan berpanjangan dan keberkatan dalam fasa kehidupan yang baharu. ❤️🌹