22/05/2026
𝐋𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐦𝐚𝐧𝐭𝐚𝐮𝐚𝐧 𝐏𝐫𝐨𝐣𝐞𝐤 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐢𝐧𝐚𝐚𝐧 𝐑𝐮𝐦𝐚𝐡 𝐅𝐚𝐬𝐚 𝟏 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐮𝐝𝐮𝐤 𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐀𝐬𝐥𝐢 𝐁𝐚𝐭𝐮 𝟏𝟐, 𝐆𝐨𝐦𝐛𝐚𝐤 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐥𝐢𝐛𝐚𝐭 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐉𝐚𝐣𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐄𝐂𝐑𝐋
22 Mei 2026, Gombak – Satu lawatan pemantauan telah diadakan di tapak Projek Pembinaan Rumah Fasa 1 bagi Penduduk Orang Asli Batu 12, Gombak yang terlibat dengan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Lawatan ini bertujuan meninjau perkembangan semasa projek selain mendapatkan maklum balas serta input secara langsung daripada penduduk yang terlibat.
YBrs. Tuan Ir. Ts. Mahat a/l Mat D**g, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah JAKOA, hadir meninjau sendiri pelaksanaan projek tersebut. Turut bersama Pengarah JAKOA Negeri Selangor & Wilayah Persekutuan, Encik Mohamad Anis bin Othman.
Hadir sama Puan Mas Linda binti Mohamad, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi JAKOA Malaysia, serta Puan Nor Zahirah binti Md Hosni, PKOAD Gombak & Petaling, bersama pegawai-pegawai JAKOA, wakil pihak ECRL dan kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek.
Dalam masa yang sama, YBrs. Tuan Ir. Ts. Mahat a/l Mat D**g turut melawat kawasan tanah runtuh di sekitar kampung berkenaan dengan diiringi oleh Encik Mohamad Anis bin Othman dan Puan Nor Zahirah binti Md Hosni bagi meninjau keadaan semasa serta mengenal pasti tindakan susulan yang perlu diambil.
Melalui sesi pemantauan ini, pihak JAKOA memberi penekanan terhadap kemajuan pelaksanaan projek agar sentiasa mengikut jadual, spesifikasi serta memenuhi keperluan sebenar komuniti setempat. Pada masa sama, pandangan dan kebajikan penduduk turut diambil kira bagi memastikan projek ini memberi impak positif dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Komitmen berterusan semua pihak amat penting dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan lancar serta mencapai objektif yang telah ditetapkan.