05/06/2026
Ipoh, 3 Jun 2026 β Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mengadakan Sesi Libat Urus Pasca Pindaan Akta Penagih dan Penyalahguna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) bertempat di MH Hotel Tower & Sentral, Ipoh. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini bertujuan memperkukuh kerjasama antara AADK dan institusi kehakiman dalam menangani isu penyalahgunaan dadah serta pelaksanaan aspek rawatan dan pemulihan penagih dadah.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran, kehadiran jemputan dan sarapan pagi sebelum ucapan aluan disampaikan oleh Pengarah AADK Negeri Perak, Tuan Haji Mohamad Nor bin Musa.
Sesi pembentangan pertama telah disampaikan oleh En Reuben a/l Ahsokhan, Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasa dan Keselamatan AADK Negeri Perak. Beliau membentangkan senario semasa permasalahan dadah di Negeri Perak serta cabaran yang dihadapi dalam usaha membendung gejala penyalahgunaan dadah.
Seterusnya, Dr. Nazira binti Sadiron, Ketua Penolong Pengarah/KPP (DPK), Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Ibu Pejabat AADK, telah memberikan penerangan mengenai Akta Penagih dan Penyalahguna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983. Pembentangan tersebut memberi gambaran menyeluruh tentang peruntukan undang-undang berkaitan rawatan dan pemulihan penagih dadah.
Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh Dr. Hadijah binti Baba, Ketua Penolong Pengarah/KPP (R), Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa Ibu Pejabat AADK, yang menghuraikan kaedah-kaedah di bawah akta tersebut serta pelaksanaannya dalam sistem perundangan negara.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu-isu berkaitan penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan dadah. Sesi libat urus ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman serta memperkukuhkan kerjasama strategik antara AADK dan pihak mahkamah dan Agensi berkaitan dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah di Malaysia.
CAWANGAN PENGUATKUASAAN DAN KESELAMATAN
AADK NEGERI PERAK