14/06/2026
PROGRAM KINDNESS BASKET YFBM & BCEI SANTUNI KOMUNITI BAGAN LALANG
13 Jun 2026 – Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dengan kerjasama dan sumbangan daripada BCEI telah melaksanakan Program Kindness Basket melalui aktiviti pembungkusan dan agihan bakul makanan kepada komuniti setempat di Kampung Bagan Lalang, Sepang.
Program yang berlangsung di Balai Raya Kampung Bagan Lalang ini dimulakan dengan sesi taklimat sebelum para sukarelawan terlibat dalam aktiviti gotong-royong serta pembungkusan sebanyak 150 kotak bakul makanan untuk diagihkan kepada penerima yang layak.
Majlis turut diserikan dengan bacaan doa serta ucapan daripada Pengerusi Kampung Bagan Lalang, Encik Samsul Idham bin Mustafa Kamal, wakil BCEI iaitu Charlie Elsea, Pengarah Inovasi dan Penyampaian, APAC, BCEI Malaysia, serta wakil Yayasan Food Bank Malaysia, Encik Mohamad Syah Hendri bin Herman Mardja selaku Ketua Pemasaran & Komunikasi.
Sebanyak 144 penerima telah menerima sumbangan bakul makanan dalam sesi serahan, termasuk gimik penyerahan kepada lima penerima sebagai simbolik. Turut diadakan sesi lawatan ke rumah penerima bagi menyantuni mereka secara lebih dekat.
Program ini bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban komuniti setempat, malah turut memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak BCEI, para sukarelawan serta seluruh warga kerja Yayasan Food Bank Malaysia atas komitmen dan sokongan dalam menjayakan program ini. Semoga segala usaha ini menjadi asbab keberkatan dan kebaikan yang berpanjangan buat semua.
Berpakat Bantu Masyarakat.