Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu atau Integrated Agricultural Development Area (IADA) Kalaka-Saribas-Betong merupakan salah satu dari dua projek pembangunan pertanian bersepadu yang sedang dilaksanakan di Negeri Sarawak.Konsep IADA adalah menumpukan pemusatan segala usaha perancangan dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti pertanian bagi sesuatu kawasan sedia-ada atau in-situ.IADA Kalaka-Saribas-Betong terletak kira-kira 300 kilometer dari Bandaraya Kuching di mana kawasan projek terletak di Daerah Kalaka dan Daerah Saribas di Bahagian Betong.Mengikut bancian 1991,terdapat seramai 83,000 orang di kawasan projek yang terdiri daripada 12,000 keluarga tani di mana dijangka kira-kira seramai 9,600 keluarga tani akan mendapat faedah dari pelaksanaan projek. IADA Kalaka-Saribas mula dilaksanakan pada Jun,1986 akan dibiayai sepenuhnya oleh Bank Pembangunan Asia (ADB), Pinjaman Persekutuan dan Geran Persekutuan.Dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8), sumber pembiayaan hanyalah daripada Kerajaan Persekutuan iaitu dalam bentuk grant bagi PMU, Komponen JPS dan Komponen Pertanian. Bermula perlaksanaan projek tahun 1986, tumpuan utama adalah mengatasi masalah kekurangan infrastruktur yang melibatkan pembangunan skim saliran untuk memperbaiki keadaan tanah yang sering ditenggelami air pasang surut serta membina jalanraya dalam kawasan projek untuk membolehkan ianya dibangunkan dengan aktiviti pertanian secara komersil.Pembangunan tanaman utama pada peringkat awal tertumpu kepada pembangunan tanaman kelapa sawit di mana pada tahun 1997 matlamat untuk membangunkan kawasan kelapa sawit seluas 10,000 hektar telah tercapai melalui komponen SALCRA. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan,IADA Kalaka-Saribas telah memohon perluasan kawasan perkhidmatan meliputi keseluruhan Bahagian Betong dan telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 21 Oktober 2011.Perluasan kawasan perkhidmatan adalah seluas 257,080 ha yang melibatkan tiga (3) parlimen iaitu P201 Batang Lupar, P204 Betong dan P205 Saratok dan enam (6) ADUN iaitu N24 Beting Maro, N30 Saribas, N31 Layar, N32 Bukit Saban, N33 Kalaka dan N34 Krian.