29/08/2026
MEMPERKUKUH TADBIR URUS DAN PEMATUHAN: SESI NAZIRAN BHEUU DI YAYASAN CANSELOR UTeM
MELAKA | 26 OGOS 2026 – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan sesi naziran di Yayasan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memperkukuh tadbir urus dan pematuhan pertubuhan perbadanan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258].
Delegasi BHEUU diketuai oleh Encik Azril bin Wanchik, Timbalan Pendaftar Pemerbadanan Pemegang Amanah, bersama Penolong-penolong Pendaftar, iaitu Encik Tham Hong Loong, Puan Noorsyuhada binti Jasmani, Puan Waarithatul Wafa’ binti Abdul Kadir, Encik Najmi Ziyad bin Taufik, Encik Charles Peters dan Puan Quaratulain binti Rusli.
Sesi naziran ini bertujuan meneliti pengurusan dan pengoperasian yayasan, termasuk struktur pentadbiran dan pemegang amanah, pengurusan kewangan serta dana, pelaksanaan program, penyimpanan rekod, pematuhan terhadap Akta 258 dan surat ikatan amanah serta perancangan hala tuju organisasi.
Naziran ini turut menjadi platform libat urus dua hala antara BHEUU dengan pihak pengurusan Yayasan Canselor UTeM bagi membincangkan cabaran semasa, berkongsi pandangan dan mengenal pasti langkah penambahbaikan yang praktikal. Pendekatan ini penting untuk memastikan keperluan kawal selia bukan sahaja difahami, malah diterjemahkan kepada amalan tadbir urus yang baik.
BHEUU turut menekankan tanggungjawab pemegang amanah untuk memastikan yayasan terus aktif, mesyuarat diadakan secara berkala, rekod dan akaun diselenggara dengan teratur serta segala dana dan aset diuruskan secara telus, berakauntabiliti dan selaras dengan objektif penubuhannya.
Setiap pertubuhan perbadanan juga perlu memastikan struktur pemegang amanah sentiasa lengkap dan berfungsi serta sebarang perubahan berkaitan pelantikan, pentadbiran dan operasi dimaklumkan kepada BHEUU mengikut keperluan undang-undang.
Pelaksanaan naziran secara berterusan mencerminkan peranan BHEUU bukan sahaja sebagai badan kawal selia, tetapi juga sebagai rakan strategik yang memberikan bimbingan dan khidmat nasihat bagi membantu pertubuhan perbadanan meningkatkan tahap pematuhan dan keberkesanan pengurusan.
BHEUU merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Yayasan Canselor UTeM atas kerjasama, keterbukaan dan komitmen yang diberikan sepanjang sesi naziran ini.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina institusi yang telus, berintegriti, berakauntabiliti dan diyakini masyarakat.