18/05/2026
16 Mei 2026 - Program Sistem QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada 16 Mei 2026 di Lembah Kesang, Seri Mendapat, Jasin, Melaka.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.
Program QR Tagging Haiwan Ternakan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Melaka merupakan satu inisiatif pendigitalan sektor penternakan bagi meningkatkan kawalan, keselamatan dan pengurusan ternakan secara lebih sistematik. Program ini melibatkan pemasangan tag kod QR pada ternakan seperti lembu dan kerbau bagi membolehkan maklumat pemilik, lokasi ternakan serta rekod kesihatan haiwan dikenal pasti dengan cepat dan tepat melalui sistem digital.
Pelaksanaan sistem ini bertujuan mengatasi isu haiwan ternakan berkeliaran yang sering menyebabkan kemalangan jalan raya serta aduan awam. Kerajaan negeri memaklumkan bahawa lebih 835 kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan telah direkodkan sejak tahun 2023. Selain membantu penguatkuasaan undang-undang, sistem ini juga dapat memudahkan pengesanan haiwan yang hilang atau diseludup serta meningkatkan tahap tanggungjawab penternak terhadap ternakan masing-masing.
Tahniah DVS Melaka