14/06/2026
"𝑷𝒆𝒓𝒑𝒂𝒅𝒖𝒂𝒏 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒖𝒕𝒖𝒉 𝒅𝒂𝒍𝒂𝒎 𝒌𝒆𝒑𝒆𝒍𝒃𝒂𝒈𝒂𝒊𝒂𝒏 𝒂𝒅𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒕𝒊𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒆𝒓𝒊 𝒌𝒆𝒑𝒂𝒅𝒂 𝒌𝒆𝒔𝒕𝒂𝒃𝒊𝒍𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒌𝒆𝒎𝒂𝒌𝒎𝒖𝒓𝒂𝒏 𝒏𝒆𝒈𝒂𝒓𝒂 𝒌𝒊𝒕𝒂."
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐓𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐈 𝐆𝐀𝐖𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐏𝐄𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓 𝐖𝐀𝐊𝐈𝐋 𝐓𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐀 𝐋𝐀𝐔𝐓 𝐊𝐔𝐂𝐇𝐈𝐍𝐆 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐀𝐒𝐔𝐊𝐀𝐍 𝐒𝐈𝐌𝐏𝐀𝐍𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐀 𝐋𝐀𝐔𝐓 𝐊𝐔𝐂𝐇𝐈𝐍𝐆
KUCHING, 13 Jun – Pejabat Wakil Tentera Laut (PWTL) Kuching dan Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Kuching telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Gawai 2026 yang berlangsung di Ruang Legar PWTL Kuching semalam.
Majlis ini menjadi manifestasi keutuhan perpaduan warga PWTL dan PSTL Kuching, sekali gus mempereratkan jalinan silaturahim, menyemarakkan semangat kekitaan serta memperkukuhkan keharmonian dalam kalangan warga TLDM yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan latar belakang.
Pelbagai pengisian menarik telah dipersembahkan sepanjang majlis, antaranya persembahan kebudayaan pelbagai etnik yang menampilkan keunikan warisan masyarakat Sabah dan Sarawak seperti Tarian Ngajat, Tarian Orang Ulu, Tarian Bidayuh dan Tarian Sumazau. Majlis turut diserikan dengan persembahan Tarian Buluh serta upacara simbolik Ngiling Tikar, yang membawa maksud penutupan rasmi musim perayaan Gawai sebagai lambang kesyukuran, perpaduan dan penghargaan terhadap adat serta tradisi yang diwarisi turun-temurun.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Sijil Penghargaan Kehadiran Latihan Tempatan kepada Pegawai dan LLP PSSTLDM sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, disiplin dan kesungguhan yang telah dipamerkan sepanjang pelaksanaan Latihan Tempatan yang dijalankan. Selain itu, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi kategori persembahan tarian dan juga pakaian etnik terbaik.
Sehubungan itu, sambutan yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan ini dapat menonjolkan kekayaan warisan budaya di samping mencerminkan komitmen warga TLDM dalam menghargai kepelbagaian etnik sebagai asas penting yang menjadi tunjang kekuatan organisasi.
🌾 SELAMAT HARI GAWAI 🌾
🌾 Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menoa 🌾
Sumber | Artikel | Gambar : PWTL Kuching
Kementerian Pertahanan Malaysia
Angkatan Tentera Malaysia
Tentera Laut Diraja Malaysia
Markas Pemerintahan Armada Timur