28/10/2025
KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
RAKYAT MENANGIS UNTUK GAZA, TAPI PEMERINTAH MENARI DENGAN PENZALIM
1. Dewan Ulamak PAS Pusat menzahirkan rasa dukacita dan kekesalan yang amat mendalam terhadap tindakan Perdana Menteri Malaysia yang menyambut kedatangan Donald Trump dengan sambutan penuh kemeriahan dan disertai tarian di lapangan terbang. Dalam keadaan bumi Gaza terus dibedil dan darah umat Islam masih mengalir, perbuatan itu mencalar maruah umat dan mengguris hati rakyat yang sedang berdoa serta berjuang untuk saudara mereka di Palestin.
2. Donald Trump bukan sekadar tokoh politik, beliau adalah simbol kezaliman moden. Beliau secara terang-terangan mengiktiraf penjajahan Israel, mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Zionis, memotong bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin, dan mengaku sebagai pembekal senjata utama kepada rejim Israel. Menyambutnya dengan senyum dan tarian bukanlah tanda bijaksana, tetapi tanda hilangnya empati dan keinsafan terhadap umat yang dizalimi.
3. Lebih mengejutkan, kerajaan turut menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik atau Reciprocal Trade Agreement yang nyata berat sebelah, memberi kelebihan besar kepada eksport Amerika Syarikat dalam sektor industri dan pertanian, sementara Malaysia p**a terdedah kepada ketergantungan ekonomi yang membahayakan kedaulatan jangka panjang. Tindakan ini amat bertentangan dengan prinsip keadilan Islam yang menolak segala bentuk penindasan ekonomi dan eksploitasi oleh kuasa besar.
4. Islam tidak melarang diplomasi antarabangsa, namun diplomasi tidak boleh dijadikan topeng untuk melunakkan kezaliman atau membuka ruang kepada penjajahan ekonomi baharu. Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ أُمَّتِي تَهَابُ أَنْ تَقُولَ لِلظَّالِمِ: يَا ظَالِمُ، فَقَدْ تُوُدِّعَ مِنْهُمْ
“Apabila engkau melihat umatku takut menegur orang zalim dengan berkata wahai zalim, maka ketahuilah umat itu telah ditinggalkan oleh Allah.”
(Riwayat al-Hakim, sahih)
5. Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa pemimpin Islam mesti menjadi benteng keadilan, bukan menjadi alat kepada agenda kuasa besar. Tidak wajar Malaysia yang sekian lama dikenali sebagai suara tegas dunia Islam kini berubah menjadi pentas meraikan penzalim. Tindakan ini bukan sekadar kesilapan protokol, tetapi krisis prinsip dan kehilangan arah moral.
6. Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru kerajaan agar menilai semula sebarang perjanjian yang berat sebelah dengan Amerika Syarikat, mengembalikan dasar luar negara berteraskan maqasid syariah, mempertahankan maruah, kedaulatan dan solidariti umat Islam sejagat.
7. Umat menuntut kepimpinan yang berjiwa ummah, yang menangis bersama Gaza, bukan yang menari di hadapan penzalim. Jangan sampai Malaysia dikenang dalam sejarah sebagai negara yang menggadai maruah Islam demi sekeping janji ekonomi yang tidak adil.
YB USTAZ DATO' HAJI MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat.
27 Oktober 2025 Miladi bersamaan 5 Jamadilawwal 1447 Hijri