17/05/2026
SEJAMBAK KASIH, SEUNTAI PRIHATIN BUAT ANAK YATIM DAN ASNAF
Alhamdulillah, pada hari ini 17 Mei 2026 (Ahad), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui JAWI Food Bank dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Salahuddin Al-Ayyubi telah berjaya menganjurkan Majlis Ramah Mesra Asnaf dan Anak Yatim Kariah Masjid Salahuddin yang berlangsung dengan penuh kemeriahan serta suasana kasih sayang di Dewan Utama Masjid Salahuddin Al-Ayyubi Taman Melati KL.
Majlis ini telah menghimpunkan seramai 80 orang anak yatim serta 190 orang anak kariah untuk diraikan bersama dalam sebuah program yang bukan sahaja menyantuni golongan memerlukan, malah turut memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan nilai ihsan, kasih sayang, kebersamaan dan kebajikan masyarakat. Program seperti ini mencerminkan semangat MADANI Membantu yang sentiasa mengutamakan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan agar tiada masyarakat yang terpinggir daripada menerima perhatian dan bantuan sewajarnya.
Dalam majlis tersebut, pihak JAWI telah menyampaikan sumbangan tunai daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada 80 orang anak yatim sebagai tanda keprihatinan dan sokongan dalam membantu meringankan beban mereka. Selain itu, pihak Masjid Salahuddin Al-Ayyubi turut menyampaikan sumbangan tunai serta kupon daging sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba agar golongan asnaf dan anak yatim turut dapat merasai kemeriahan dan keberkatan Aidiladha bersama keluarga serta masyarakat setempat.
Majlis penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Ustazah Nurul Ameerah Bt Sokeri, Pegawai JAWI Food Bank.
Turut hadir memeriahkan program ialah Dato’ Sri Haji Amran Bin Mat Nor, Pengerusi Masjid Salahuddin Al-Ayyubi; Datuk Ir. Haji Adanan Bin Mohamed Hussain, Timbalan Pengerusi Masjid Salahuddin Al-Ayyubi; serta Ustaz Ammar Nuafal bin Mohd Anuar, Naqib Masjid Salahuddin Al-Ayyubi. Kehadiran para pimpinan dan jawatankuasa masjid jelas mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan masyarakat khususnya golongan asnaf dan anak yatim.
Program ini turut mendapat sokongan dan keprihatinan daripada Kedutaan China di Malaysia yang telah menyumbangkan sebanyak 150 pek makanan untuk diagihkan kepada para hadirin dan penerima sumbangan dalam program ini. Sumbangan tersebut amat bermakna dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, perpaduan dan nilai kemanusiaan tanpa mengira latar belakang.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini, khususnya kepada MAIWP, Jawatankuasa Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, para penyumbang, sukarelawan serta semua individu yang telah bersama-sama menyumbang tenaga, masa dan rezeki demi kebajikan masyarakat.
Semoga segala amal kebajikan dan sumbangan yang diberikan diterima Allah SWT serta menjadi asbab keberkatan rezeki, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Aamiin.