26/05/2026
Hari Arafah : Medan Muhasabah Manusia Dengan Hakikat Kehambaan
Hari Arafah bukan sekadar satu tarikh biasa dalam takwim Islam, tetapi ia merupakan detik terpenting perjalanan spiritual manusia menuju Tuhan. Pada tanggal 9 Zulhijjah setiap tahun, jutaan manusia berhimpun di Padang Arafah dengan pakaian yang sama, putih suci tanpa darjat dan kemegahan dunia, seolah-olah sedang mengulangi gambaran kebangkitan manusia di padang Mahsyar kelak.
Di situlah manusia kembali memahami falsafah paling agung dalam kehidupan: bahawa setiap insan akhirnya hanyalah seorang hamba di hadapan Allah S.W.T tidak kira latar belakang masing-masing. Yang utama hanyalah amal dan hati. Dalam suasana itu, manusia belajar bahawa kemuliaan bukan terletak pada apa yang dimiliki, tetapi pada sejauh mana hati tunduk kepada Allah.
Hari Arafah mempunyai kedudukan yang sangat besar dalam syariat Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah Arafah.”— Riwayat al-Tirmizi. Hadis ini menunjukkan bahawa wukuf di Arafah merupakan rukun terbesar ibadah haji. Tanpa wukuf, maka tidak sempurna hajinya seseorang.
Di padang Arafah jugalah turunnya satu ayat agung dalam al-Quran yang menyatakan bahawa agama ini telah sempurna iaitu ketika Haji Wada‘, haji terakhir Nabi Muhammad SAW turunnya ayat 3 dari Surah Al-Maidah :
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, serta Aku telah redai Islam itu menjadi agama kamu.”
Ayat ini membawa makna bahawa Hari Arafah adalah simbol kesempurnaan agama dan kemuncak rahmat Allah kepada seluruh umat manusia.
Selain itu, hari Arafah merupakan antara hari yang paling disukai Allah S.W.T kerana pada hari tersebut terserlah sifat rahmah Allah S.W.T yang terlalu luas. Rasulullah SAW bersabda: “Tiada hari yang Allah paling banyak membebaskan hamba daripada api neraka melainkan Hari Arafah.”
—Riwayat Muslim
Bagi jemaah haji, mereka berpeluang duduk bermuhasabah akan dosa dan kesilapan yang lalu dan istimewa juga bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, disunatkan berpuasa pada hari tersebut. Sabda Nabi SAW: “Puasa pada Hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya.”— Riwayat Muslim
Subhanallah, betapa luasnya kasih sayang Allah. Hanya dengan satu hari berpuasa, dosa dua tahun diampunkan. Ini menunjukkan bahawa Hari Arafah bukan hanya milik para jemaah haji di bumi Arafah, tetapi juga peluang rahmat bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia.
Pada hari tersebut juga sebaiknya kaum Muslimin haruslah merebut peluang untuk memperbanyakkan doa kerana Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik doa ialah doa pada Hari Arafah.” — Riwayat al-Tirmizi.
Maka sesiapa yang masih diberi kesempatan bertemu Hari Arafah, jangan biarkan ia berlalu seperti hari-hari biasa kerana mungkin inilah hari yang Allah pilih untuk menghapuskan dosa-dosa kita, memakbulkan doa-doa kita, dan menulis nama kita dalam kalangan hamba yang diampuni.
Dan mungkin, di sebalik jutaan manusia yang berdoa di bumi Arafah, ada satu suara yang paling Allah tunggu-tunggu iaitu suara kita yang akhirnya p**ang menuju-Nya dengan hati yang benar-benar tunduk.