04/08/2025
SELAMAT BERSARA DR. HJH. SHAHRUM
Petang tanggal 3 Ogos 2025, di sebalik sinar keemasan lampu restoran De.Wan 1958 by Chef Wan di The Linc Kuala Lumpur, satu majlis kecil telah berlangsung, sederhana pada zahirnya, namun sarat dengan makna yang hanya mampu ditafsir oleh hati yang pernah disentuh dengan penuh kasih seorang pemimpin.
Majlis itu adalah untuk Dr. Hajah Shahrum Binti Ismail, Timbalan Pengarah (Perubatan) I, Hospital Kuala Lumpur, yang bakal bersara pada 8 Ogos ini. Enam orang Ahli Jawatankuasa tertinggi PUSPANITA Cawangan Kecil Hospital Kuala Lumpur, termasuk Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam turut hadir bagi mewakili ahli yang lain yang pernah dibimbing, diinspirasi dan disentuh oleh kehadiran beliau.
Tidak ada bunga rampai gah. Tiada karpet merah. Tetapi ada tawa kecil, air mata yang cuba disembunyikan dan cerita-cerita lama yang diceritakan kembali dengan rasa rindu yang mula berputik walau belum berpisah.
Bermula pada 1 September 1992, di Hospital Pulau Pinang sebagai Pegawai Perubatan Latihan Siswazah, Dr. Shahrum bukan sekadar memulakan kerjaya tetapi beliau memulakan sebuah perjalanan yang panjang dan bermakna. Dari satu hospital ke hospital yang lain, dari hospital ke kementerian, beliau bukan sekadar menyusun prosedur atau merancang pembangunan profesion, beliau juga menyusun kehidupan dan membangunkan semangat petugas-petugas perubatan.
Pengalaman beliau di Kementerian Kesihatan Malaysia, khususnya di Cawangan Pembangunan Profesion Perubatan, membentuk beliau bukan hanya sebagai seorang penjawat awam, tetapi sebagai seorang arkitek yang menyusun masa depan perkhidmatan kesihatan negara.
Dan akhirnya, beliau “kembali ke medan” yakni di Hospital Kuala Lumpur pada 21 Julai 2021.
Tidak ramai yang tahu, dalam kesibukan mentadbir hal-hal perubatan, Dr. Shahrum juga menjadi tiang utama PUSPANITA Cawangan Kecil Hospital Kuala Lumpur. Beliau bukan hanya hadir, tetapi turut menyokong program-program kami, memberi dorongan kepada ahli-ahli dan menyuntik rasa kekeluargaan dalam struktur yang sering dibalut dengan formaliti.
Walaupun majlis ini kecil, tetapi ianya adalah sebuah catatan jiwa. Tiada ucapan panjang, hanya pujian yang ikhlas juga tiada hadiah mahal, hanya pelukan yang berat untuk dilepaskan.
Selamat bersara, Dr. Hjh. Shahrum.