28/05/2026
MAJLIS IBADAH KORBAN SURAU AL MADANI IPD KOTA SAMARAHAN MERIAH DAN PENUH SEMANGAT UKHUWAH
KOTA SAMARAHAN, 28 Mei 2026 – Surau Al Madani, IPD Kota Samarahan hari ini telah menganjurkan Majlis Ibadah Korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah dalam suasana penuh meriah, harmoni dan semangat kebersamaan.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Morshidi bin Sa-id mewakili YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Yang Berbahagia Tuan Rais bin Ahmat mewakili YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN N.15 Asajaya.
Turut hadir Yang Dihormati DSP Barry Ak William, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan dan Yang Dihormati ASP Hanif Ijawan bin Basri selaku Pengerusi Surau Al Madani, IPD Kota Samarahan.
Program dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Kpl Afizie bin Mohammad sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh YDH Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan.
Dalam majlis tersebut, sebanyak tiga ekor lembu korban telah disumbangkan hasil sokongan dan keprihatinan pelbagai pihak bagi menjayakan ibadah korban pada tahun ini. Acara simbolik penyerahan lembu korban turut diadakan sebagai lambang semangat pengorbanan, kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
Majlis turut diserikan dengan penglibatan pegawai kanan polis, Pegawai Rendah Polis, pegawai awam serta komuniti setempat yang bersama-sama menjayakan program secara gotong-royong.
Selain mengimarahkan sambutan Aidiladha, program ini juga menjadi medium dalam memperkukuhkan ukhuwah, semangat kerjasama dan nilai perpaduan dalam kalangan warga IPD Kota Samarahan serta masyarakat setempat.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan komitmen dalam memastikan kelancaran Majlis Ibadah Korban Surau Al Madani bagi tahun 1447 Hijrah.
Polis Daerah Kota Samarahan