01/01/2026
2026: MEMACU KELANTAN KE ARAH HAYATAN TOYYIBAH
Firman Allah SWT:
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٩٧﴾
Maksudnya : “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah al-Nahl: 97)
Membuka lembaran baharu 2026 pada hari ini dengan penuh kesyukuran merupakan manifestasi keazaman untuk memperkukuh iltizam dan tekad demi membangunkan serta memajukan negeri Kelantan yang kita cintai. Langkah yang diatur semestinya perlu melalui proses koreksi secara menyeluruh khususnya dalam aspek perancangan pentadbiran dan pembangunan negeri bagi mencapai hala tuju yang telah digariskan.
Pentadbiran Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) bagi tahun 2026 perlu dipacu dengan lebih agresif dan berstrategik, berpandukan Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024-2028. Dalam hal ini, konteks pelaksanaan serta penyelarasannya perlu diperkemaskan agar inisiatif kerajaan benar-benar memberi manfaat dan membawa kesejahteraan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Di samping itu, agenda pengukuhan PMBI sama ada dalam aspek pembangunan infrastruktur, sosial, pendidikan mahu pun ekonomi, hendaklah digarap secara bersama dengan memastikan dasar-dasar pentadbiran kerajaan negeri dilaksanakan sebaik-baiknya bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan masa depan negeri. Tambahan p**a, menyedari cabaran kehidupan lebih-lebih di zaman kepantasan teknologi, saranan agar kembali kepada penyelesaian Islam secara menyeluruh merupakan formula yang efektif dan sentiasa segar pada setiap peredaran zaman, hendaklah disesuaikan dalam setiap agenda bertindak.
Justeru, Kelantan terus komited serta optimis dengan dasar Membangun Bersama Islam dalam mengemudi bahtera pentadbiran kerajaan negeri yang sudah terbukti keberhasilannya. Marilah kita rapatkan saf untuk mengukuhkan kesatuan ummah dan setiap rakyat perlu memainkan peranan masing-masing berkhidmat untuk agama, bangsa dan tanah air.
Mudah-mudahan tahun 2026 membawa nafas yang semakin segar bagi merealisasikan ‘hayatan toyyibah’ atau kehidupan yang baik sama ada kehidupan di dunia mahu pun di akhirat. Marilah kita bersama-sama berdoa agar negeri Serambi Mekah ini terus dikurniakan keberkatan, keamanan dan kemakmuran.
Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Hj. Mohd Nassuruddin bin Hj. Daud,
Menteri Besar Kelantan
11 Rejab 1447H bersamaan 1 Januari 2026M (Khamis)