18/05/2026
🌸 PROGRAM SENTUHAN KASIH JHEWA 2026 BERLANGSUNG MERIAH 🌸
KOTA KINABALU, 18 Mei 2026 – Program Sentuhan Kasih JHEWA: “Suara Anda, Aspirasi Kami” sempena Sambutan Hari Ibu Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Ballroom, Wisma Wanita hari ini.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) ini berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, NGO wanita, usahawan wanita serta komuniti setempat dalam suasana mesra rakyat dan penuh harmoni.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Rina Hj Jaini, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat. Turut hadir, Yang Berbahagia Tuan Henry Idol, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Yang Berusaha Puan Hajah Haslina Ismail, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), serta wakil-wakil agensi strategik yang terlibat.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan sepanjang program antaranya sesi pocket talk agensi, khidmat nasihat wanita, saringan kesihatan reproduktif wanita, kaunseling, derma darah serta pameran dan perkhidmatan daripada agensi-agensi berkaitan. Program turut memberi ruang kepada usahawan wanita bimbingan JHEWA untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung.
Melalui penganjuran program ini, JHEWA berharap usaha memperkasa wanita serta meningkatkan kesejahteraan keluarga dapat terus diperkukuhkan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
JHEWA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi strategik, peserta, usahawan serta orang ramai yang telah hadir dan bersama-sama menjayakan program ini.