13/06/2026
KURSUS PENGURUSAN PEROLEHAN JABATAN PENJARA MALAYSIA DI PK KAMUNTING
Pusat Koreksional Kamunting telah menganjurkan Kursus Pengurusan Perolehan Jabatan Penjara Malaysia pada 10 hingga 12 Jun 2025 di Bilik Mesyuarat Intan, dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang. Kursus ini disertai oleh 32 peserta yang terdiri daripada pegawai dan anggota uniform, kakitangan awam institusi serta 2 kakitangan awam dari Penjara Tapah. Objektif kursus adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta mengenai prosedur, tatacara dan risiko perolehan kerajaan berdasarkan pekeliling serta garis panduan semasa, termasuk tindakan yang boleh dikenakan sekiranya pelanggaran peraturan perolehan berlaku.
Kursus dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta dan tayangan video Civilized Humane Culture Development Centre (CHCDC) yang memberi pendedahan mengenai budaya kerja profesional, nilai kemanusiaan serta pendekatan koreksional dalam sistem penjara moden. Peserta turut didedahkan kepada sejarah perkembangan institusi penjara dan sistem pemulihan banduan.
Sepanjang tempoh kursus berjalan, sesi pembelajaran telah disampaikan oleh En. Rosli bin Khairuddin, Timbalan Pengarah (Seksyen Perolehan), Bahagian Pembangunan dan Perolehan, IPPM. Penerangan mendalam berkenaan konsep perolehan kerajaan terutamanya perolehan sebut harga, isu pecah kecil dalam perolehan, pengenalan kepada kod hasil dan perbelanjaan, tatacara penyediaan spesifikasi perolehan, kaedah pemarkahan teknikal dan kewangan dalam perolehan sebut harga, penyediaan dokumen kontrak, serta isu ITPK. Pengisian ini membantu peserta memahami aspek penting yang perlu diberi perhatian sepanjang proses perolehan.
Secara keseluruhannya, kursus telah dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Diharapkan ilmu dan pengetahuan yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam pelaksanaan tugas secara lebih cekap, profesional dan berintegriti.