26/08/2026
Kenyataan Media
MENGHORMATI TITAH PERKENAN YDPA: RCI TABUNG HAJI DILAKSANAKAN SETELUSNYA, SEHINGGA KE LUBANG CACING
1. Sebagai institusi Parlimen yang berwibawa, saya menghormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau Public Accounts Committee (PAC) dan Kerajaan Madani sedia memberi kerjasama penuh sekiranya diperlukan. Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh. Langkah ini penting demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.
2. Saya juga menegaskan bahawa keanggotaan RCI Tabung Haji dibentuk oleh enam tokoh berwibawa tinggi yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada Julai 2021 ini, merangkumi pakar kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, Syariah, dan audit. Gabungan kepakaran ini memastikan setiap siasatan dan cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil, serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan.
3. Siasatan ini disokong oleh titah perkenan YDPA ke-16 pada 2021, berserta ketegasan titah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 8 Ogos 2026 yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat "hingga ke lubang cacing". Desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan bahawa pengurusan simpanan umat ini menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
4. Kerajaan Madani berikrar akan menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah ﷻ dan memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang.
SENATOR DR. ZULKIFLI BIN HASAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
26 Ogos 2026 | 13 Rabiulawal 1448 Hijrah