31/08/2026
Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi merupakan satu nikmat dan amanah yang wajib dipelihara. Ia menuntut kita membina sebuah negara yang aman, sejahtera, berdaulat serta dihiasi dengan nilai keadilan, ilmu, akhlak dan rasa tanggungjawab.
Allah SWT berfirman:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.”
— Surah Ali ‘Imran, 3:103
Ayat ini mengingatkan kita bahawa kekuatan sesebuah masyarakat tidak hanya terletak pada pembangunan fizikal dan kemajuan material, tetapi juga pada kesatuan hati, kekuatan iman dan kesediaan memikul tanggungjawab bersama.
Islam menggariskan kebebasan seiring dengan tanggungjawab. Kemerdekaan yang sebenar seharusnya membebaskan manusia daripada kejahilan, keruntuhan akhlak dan segala bentuk pengabdian kepada selain Allah SWT.
Sempena Hari Kebangsaan Malaysia Ke-69, marilah kita mensyukuri nikmat keamanan dan kemerdekaan yang dikurniakan Allah SWT, di samping memperbaharui tekad untuk terus menyumbang kepada agama, masyarakat dan tanah air tercinta.
Semoga semangat merdeka terus menyatukan hati, memperkukuh perpaduan ummah, menyuburkan kasih kepada tanah air serta melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.
🇲🇾 Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia Ke-69.
Daripada:
Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu Kawan