27/05/2026
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA
PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA 1447H
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri
Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya, sekali lagi kita dipertemukan dengan Hari Raya Aidiladha, hari yang penuh dengan pengertian pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT.
Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi mengajar kita erti sebenar sebuah perjuangan. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS mengingatkan kita bahawa setiap amanah, perjuangan dan tanggungjawab menuntut keikhlasan hati, kesabaran serta pengorbanan yang besar.
Dalam suasana dunia yang semakin mencabar hari ini tekanan ekonomi global, krisis kemanusiaan, konflik antarabangsa dan pelbagai ujian kehidupan semangat Aidiladha mengajar kita untuk terus bersatu, saling membantu dan memperkukuh nilai kemanusiaan sesama rakyat.
Sebagai sebuah parti yang lahir daripada perjuangan rakyat, KEADILAN akan terus istiqamah membawa suara rakyat, mempertahankan prinsip keadilan serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan, anggota, jentera parti dan rakyat Negeri Perak yang terus menunjukkan semangat kebersamaan, kematangan serta komitmen dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian negeri ini.
Semoga Aidiladha kali ini membawa keberkatan, ketenangan dan kekuatan baharu kepada kita semua untuk terus melangkah dengan penuh hikmah dan kesatuan.
Selamat Hari Raya Aidiladha 1447H.
Maaf Zahir dan Batin.
“Pengorbanan Menguatkan Perjuangan,
Kebersamaan Memperkukuh Keadilan.”
Mohamad Hairul Amir Bin Sabri
Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri
Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak