18/05/2026
860 BELIA GEGARKAN SEMARAK BELIA @ HARI BELIA NEGARA GUA MUSANG 2026
GUA MUSANG, 14 Mei 2026โ Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Daerah Gua Musang Tahun 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah pada 13 Mei 2026 bertempat di Dewan Orang Ramai Felda Chiku 1 hasil kerjasama antara Majlis Belia Jajahan Gua Musang dan Majlis Belia Felda Chiku 1.
Program tersebut berjaya menghimpunkan seramai 860 peserta yang terdiri daripada golongan belia, pelajar, wakil agensi kerajaan serta masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat sempena sambutan Hari Belia Negara 2026.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Gua Musang yang turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen golongan belia dalam menjayakan program pembangunan masyarakat dan komuniti di daerah ini.
Pelbagai pengisian telah disusun menerusi tiga segmen utama iaitu Segmen Malaysia Aktif, Segmen Inovasi & Digital serta Segmen Kebudayaan, Kesenian & Muzik. Antara aktiviti yang diadakan termasuk pertandingan e-sport, pameran agensi, senamrobik dan briskwalk yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada para peserta.
Selain itu, program turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dikir barat oleh kumpulan Alunan Irama Sri Chiku yang mengetengahkan warisan seni budaya tempatan. Suasana program menjadi lebih meriah dengan penampilan artis jemputan Den Manjo yang berjaya menarik perhatian dan menceriakan para pengunjung.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memperkasakan peranan belia sebagai pemangkin pembangunan negara di samping memupuk gaya hidup sihat, semangat perpaduan serta kreativiti dalam kalangan generasi muda. Program seumpama ini juga menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan antara belia, agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam usaha melahirkan masyarakat yang progresif dan harmoni.
Disediakan Oleh : Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
JBSNegara
belia.my